Menarik

Bazar Ramadan Masjid Al-Busyra dapat sambutan, diadakan di perkarangan masjid

MERBOK: Menjadikan Masjid Nabawi, Pengerusi yang juga imam Masjid Al-Busyra, Mohd Firdaus Mat Akhir, 35, telah menjadikan perkarangan masjid sebagai pusat perniagaan sepanjang Ramadan ini.

Menerusi penganjuran bazar Ramadan, ia juga menarik jemaah mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadan selain aktiviti ibadah. 

Ketika ditemui, beliau memberitahu idea untuk menganjurkan bazar Ramadan di pekarangan masjid tercetus hasil perbincangan bersama seluruh Ahli Jawatankuasa Masjid pada bulan Febuari lalu.

Katanya lagi, idea itu tercetus kerana beliau mahu menjadikan masjid sebagai pusat sehenti dan mesra musafir.

“Peranan masjid sebagai pusat kegiatan spiritual dalam konteks ini pusat ibadah umat Islam, Rumah Allah, hendaklah dipergiatkan dengan menganjurkan bazar untuk menarik lebih ramai jemaah menjadikan masjid sebagai lokasi menarik untuk dikunjungi.

“Biarpun berada di lokasi agak terpencil namun kewujudan bazar ini berjaya menjadikan kawasan ini meriah malah ada pengunjung yang datang dari luar Kedah yang sanggup singgah di situ.

“Alhamdulillah seramai 50 peniaga sertai bazar Ramadan dan sambutannya sangat luar biasa,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Ditanya sambutan yang diterima, Mohd Firadus berkata, usahanya mewujudkan bazar itu berjaya menarik umat Islam terutama golongan muda untuk solat berjemaah dan iftar di masjid.

Setiap peniaga yang berminat berniaga di bazar Ramadan itu hanya perlu membayar sewa sebanyak RM500 sebulan dan mereka hanya membawa meja dan barang jualan kerana khemah disediakan pengurusan masjid.

Dengan sambutan yang diterima, perancangan tahun depan, pihaknya akan meluaskan tapak bazar bagi memberi peluang kepada lebih ramai peniaga.

Exit mobile version