Tempatan

Beberapa perkara & tuntutan di bawah MA63 tertunggak akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat

KUCHING: Beberapa perkara dan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia (MA63) yang tertunggak mungkin dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Jelasnya lagi, setiap perkara yang termaktub dalam MA63 akan ditunaikan secara berperingkat sebagai usaha membawa pembangunan dan kemajuan kepada Sarawak.

“Terdapat banyak rundingan yang memakan masa dalam menyelesaikan isu tertunggak MA63 namun tidak memerlukan pindaan Perlembagaan,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Dewanita Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) 2022 di sini, pada Khamis.

Beliau menambah Sarawak sedang meneruskan rundingan melalui jawatankuasa perundingan bersama di bawah Jawatankuasa Khas MA63 berhubung pemberian geran khas dan wakil negeri dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di bawah Perkara 112 (D) Perlembagaan Persekutuan.

“Ini antara perkara-perkara yang telah dipersetujui secara prinsip,” ujarnya.

Mengenai tuntutan terhadap perkara 35 peratus kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak beliau mengakui perkara ini sedang diteliti serta mengambil sedikit masa untuk diselesaikan berhubung perkara berkenaan memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *