Politik

Bekas calon PBK Parlimen Stampin umum keluar PBK

KUCHING: Calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Lue Cheng Hing bagi Parlimen Stampin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lue berkata, beliau memutuskan untuk meletakkan jawatan selepas menyedari PBK bukan lagi platform yang sesuai untuk kerjaya politiknya.

Mengesahkan Lue memilih untuk meninggalkan PBK ialah Presiden PBK Voon Lee Shan ketika dihubungi pemberita Utusan Sarawak sebentar tadi.

Lue, pesara kejuruteraan perisian itu turut bertanding di kerusi Sentosa semasa Pilihan Raya Sarawak ke-12 pada 2021 di bawah PBK menzahirkan terima kasih kepada semua pengundi atas sokongan yang telah diberikan kepadnya pada Pilihan Raya Negeri 2021 dan PRU-15.

Lue menggesa rakyat Sarawak untuk terus memberi sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) terutamanya dalam usaha membolehkan Sarawak mencapai autonomi dalam pendidikan, penjagaan kesihatan dan hak-hak lain yang terhakis.

“Apa yang menjadi milik Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti dikembalikan kepada Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lue berkata Sarawak harus mengambil peluang keemasan ini dengan tindakan yang lebih agresif dan konkrit untuk mengembalikan semula hak Sarawak yang telah terhakis memandangkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertoleransi untuk memenuhi hak Sarawak di bawah MA63.

Pada masa sama, beliau turut menyatakan akan terus mengambil berat terhadap kebajikan dan hak Sarawak meskipun meninggalkan PBK.-UTUSAN SARAWAK 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *