KUCHING: Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) Sarawak merancang untuk mengaktifkan kembali peranan persatuan ini bagi memberi bantuan dan sumbangan kepada pelajar-pelajar Sarawak yang sedang belajar di USM Pulau Pinang.
Penaungnya Razi Sitam berkata, dengan kerjasama barisan Exco Persatuan Alumni USM Sarawak yang baharu ini dan Persatuan Alumni USM Induk ia diharap akan dapat direalisasikan secara efektif dan berkesan.
“Masih ramai graduan daripada USM terutamanya anak-anak Sarawak yang belum mempunyai data khusus.
“Jadi, kita (Persatuan Alumni USM Sarawak) merancang untuk mengumpul data-data ini sejak USM ditubuhkan.
“Pada masa sama kita juga mempunyai perancangan dengan pihak USM untuk bekerjsama bagi memberi kemudahaan dan manfaat kepada anak-anak Sarawak yang sedang belajar di USM,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Iftar Bersama Persatuan Alumni USM Sarawak di Dewan Sri Rampai Kuching pada Khamis.
Jelas Razi yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak lagi, Persatuan Alumni USM Sarawak turut bekerjasama dengan USM bagi memastikan kebajikan dan kemudahan anak-anak Sarawak yang sedang belajar di USM Pulau Pinang sentiasa dipelihara dan diambil tindakan sewajarnya.
Terdahulu, Persatuan Alumni USM Sarawak telah mengadakan program Ihya Ramadan 2022 dengan menyampaikan sumbangan kepada 15 golongan asnaf di sekitar Kuching dalam Bingkisan Ramadan dan mengagihkan 300 bungkus buah kurma kepada komuniti di sekitar Masjid India, Kuching.
Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni USM Sarawak Hafisz Rachman Drahman memberitahu pihaknya mempunyai empat matlamat penubuhannya antaranya kebajikan, pendidikan, sukan dan sosial ekonomi.
“Untuk tahun ini dan akan datang kita akan sentiasa melaksanakan program yang boleh memberi manfaat kepada sosial komuniti di Sarawak.
“Ilham untuk mencapai matlamat ini ialah untuk mengumpul seramai yang boleh ahli-ahli alumni yang pernah belajar di USM dahulu,” katanya.
Tambah beliau, Persatuan Alumni USM Sarawak turut membantu pelajar-pelajar Sarawak yang sedang dalam pengajian di USM dengan menjadi orang tengah atau pengantara kepada pihak berkepentingan bagi mendapatkan bantuan kewangan dan kebajikan.
Ujar Hafisz lagi, pihaknya juga telah mengadakan sesi Meet and Greet secara dalam talian bersama Persatuan Alumni USM Induk dan Perkumpulan Anak-Anak Sarawak (PERKASA) iaitu pelajar-pelajar Sarawak yang sedang belajar di USM bagi menggalakkan mereka menyertai Persatuan Alumni USM Sarawak.
Malah, pihaknya turut mendapat kerjasama baik daripada USM sendiri dalam mendapatkan nama-nama bekas pelajar USM Sarawak daripada kumpulan pertama hingga sekarang.
Selain itu, Persatuan Alumni USM Sarawak juga telah membuka akaun media sosialnya bagi membolehkan bekas-bekas graduan USM dari Sarawak untuk mendaftar sebagai ahli Alumni USM Sarawak dan berkomunikasi dengan Persatuan Alumni USM Sarawak bagi merancang aktiviti dan program yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.
Mereka boleh mengisi borang keahlian Persatuan Alumni USM Sarawak secara dalam talian dengan melayari Facebook Alumni USM Sarawak Association yang terbuka kepada bekas-bekas pelajar dan pelajar-pelajar USM di Sarawak.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Persatuan Alumni USM Sarawak Mohd Iqbal Ismail dan ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Alumni USM Sarawak.