Tempatan

Benarkah ramai pekerja asing di tapak pembinaan Empangan Baleh?

KAPIT: Satu aduan telah dibuat penduduk mengenai kehadiran ramai pekerja asing yang bekerja di Empangan Baleh. 

Memetik berita yang dikeluarkan The Borneopost pada Rabu, Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia PKR Sarawak Khusyairy Pangkas berkata berkata penduduk tempatan bimbang dengan kebanjiran pekerja asing dari Pakistan, India dan Bangladesh di tapak projek tersebut. 

“Berdasarkan aduan yang diterima pihak kami, ramai pekerja dari Pakistan bekerja sebagai pemandu trak, serta operator jentolak, jengkaut, dan penggelek wap.

“Mereka (pengadu) kata ada di antara mereka (warga asing) datang untuk dilatih seketika dan kemudian, diserap (ke dalam tenaga kerja) untuk mengendalikan jentera berat.

“Kehadiran mereka telah menghalang peluang penduduk tempatan untuk bekerja di tapak projek empangan itu,” katanya menerusi satu kenyataan kepada media. 

Beliau yang juga Pengerusi PKR Kapit turut mempersoalkan sama ada kontraktor yang terlibat dalam projek mega itu mempunyai Lesen Penggajian Pekerja Bukan Pemastautin (LPPPP) yang diluluskan oleh pihak berkuasa berkaitan atau tidak.

“Berhubung aduan itu, saya ingin menyatakan bahawa projek empangan Baleh melibatkan banyak pihak yang berkepentingan termasuk kerajaan Sarawak, Sarawak Energy Berhad, Jabatan Buruh, Jabatan Imigresen, Syarikat Kumpulan China Gezhouba, Sinohydro Corporation Sdn Bhd, Jabatan Pekerjaan Keselamatan dan Kesihatan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

“Justeru, pihak berkepentingan harus mengambil perhatian dan bertindak segera dalam memastikan keutamaan peluang pekerjaan diberikan kepada penduduk setempat,” katanya.

Justeru, pihak berkuasa seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK) harus melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara berkala bagi memastikan semua pekerja asing yang bekerja di sini diambil secara sah dan mengikut undang-undang. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *