KUCHING: Majlis berbuka puasa anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) telah berjaya mengukuhkan perpaduan serta keharmonian yang ada di Sarawak, kata Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.
Sebanyak 9 pertubuhan pelbagai agama di Kuching hadir pada pada majlis berbuka puasa yang telah diadakan di Pusat Informasi Islam pada Selasa.
Antara organisasi yang hadir termasuklah Sarawak Sikh Temple, The Association of Buddhism Amitabha Ming De Kuching, Malaysia Hindu Sangam cawangan Sarawak, Archbishop Curia and Cathedral Pastoral Centre, Kuching Tao Cultural Association, Diocese of Kuching, Spiritual Assembly of the Baha’i of Sarawak, Malaysian Buddhist Association dan Kuching Buddhist Society.
Lebih manis lagi ia turut dihadiri wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Organisasi Pelbagai Agama (FBO) dan pelajar dari Universiti Swinburne.
“Pada masa hadapan, saya juga berharap agar kita boleh terus bekerjasama dengan erat.
“Sekiranya wujud perbezaan pendapat, kita perlu bersama – sama mengatasinya kerana ia akan membuatkan kita (rakyat Sarawak) terus bersatu padu,” katanya.
Ujar Misnu lagi, MIS juga memberi kebenaran kepada penganut agama-agama lain untuk menggunakan kemudahan seperti auditorium di Pusat Penerangan Islam untuk melaksanakan program masing-masing.