Menarik Nasional

Berita gembira buat peniaga Menu Rahmah akan diumumkan Perdana Menteri Selasa ini

KUALA LUMPUR: Peniaga yang terbabit dengan penyediaan Menu Rahmah akan menikmati kemudahan pembelian barangan mentah pada harga yang lebih rendah, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Sabtu. 

Ujar beliau lagi, perkara terperinci akan dimaklumkan pada Selasa ini di mana ia akan dinikmati 1,700 peniaga Menu Rahmah itu.

“KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) sedang melakukan pelbagai libat urus dalam memastikan hasrat berkenaan tercapai dan yakin ia akan dapat diselesaikan segera.

“Libat urus ini akan terus diadakan supaya pasar raya besar boleh juga memberikan tawaran Rahmah kepada semua peniaga Menu Rahmah,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan sesi tinjauan mesra sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri 2023 di Pasaraya Lotus Selayang, di sini pada Sabtu.

Beliau turut mendedahkan peniaga berkenaan akan diberi kad atau ada pengenalan khas untuk mereka.

“Apabila mereka menunjukkan kad yang KPDN akan pastikan kesahihannya, mereka boleh pergi ke pasar raya yang mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan.

“Di sana, mereka akan dapat beli dengan harga lebih rendah daripada harga biasa,” katanya.

Jelasnya lagi, berdasarkan cadangan, peniaga akan mendapat harga lebih rendah bagi barangan asas seperti beras, ayam, ikan, sayur dan bahan lain seperti bawang, halia serta cili.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *