Tempatan

BESarawak perkukuhkan kerjasama dengan universiti, majukan industri acara perniagaan di Sarawak

KUCHING: Business Events Sarawak (BESarawak) memeterai lima Memorandum Persefahaman (MoU) dengan universiti awam dan swasta di Malaysia bagi bekerjasama memajukan konvensyen dan pameran perniagaan di Sarawak di bawah Business Events Sarawak Alliance (BESA).

Universiti terlibat adalah Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan Universiti UCSI Kampus Sarawak.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, usaha kerjasama itu akan membolehkan BESARAWAK dan universiti mewujudkan generasi baharu profesional dan pemimpin acara perniagaan, sekali gus memastikan kemampanan industri pada masa hadapan.

“Komuniti akademik adalah penting kepada industri acara perniagaan. Ahli universiti adalah antara perancang persidangan dan pameran yang paling aktif di Sarawak. Mereka berada di barisan hadapan dalam kepakaran akademik dan penyelidikan dengan komitmen dan semangat untuk pembangunan pendidikan dan profesional. Oleh itu, mereka adalah kumpulan penting kepada industri dan masyarakat.

“Kami telah bekerjasama dengan beberapa universiti swasta dan awam terbaik di Malaysia untuk menyediakan mereka akses kepada kemudahan dan sumber bagi tujuan membida, membangun dan menganjurkan acara perniagaan akademik yang memberi impak.

“Kami akan menyokong usaha pembangunan bakat mereka dengan menawarkan peluang latihan dan projek kepada pelajar mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan upacara pertukaran MoU berkenaan di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini pada Selasa.

Sebastian Ting menambah, kerjasama memainkan peranan penting dalam pembangunan industri acara perniagaan.

“Ia membentuk asas kempen acara perniagaan kami, Tribe Legacy Sarawak, untuk menawarkan dan menyampaikan nilai yang lebih besar kepada industri dan destinasi melalui kerjasama strategik.

“Tujuan kami sebagai sebuah industri kini melangkaui menjamin acara perniagaan tetapi untuk mencipta impak legasi — atau perubahan jangka panjang yang positif — daripada perkongsian yang dibangunkan dan acara yang dianjurkan di Sarawak.

“Acara perniagaan adalah 1 daripada 6 sektor ekonomi utama yang disenaraikan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dan kami menggunakan BESA sebagai platform untuk membantu mencapai pulangan objektif Kerajaan Sarawak,” ujar beliau lagi.

BESA merupakan platform yang diasaskan pada 2018 oleh BEsarawak yang bertujuan untuk memajukan pembangunan sosial dan ekonomi Sarawak dengan mewujudkan peluang kerjasama antara kerajaan dan institusi akademik melalui acara perniagaan.

BESA juga menyelaraskan rakan kongsi dengan agenda kerajaan, khususnya Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, untuk mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *