KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan membantu Samarahan Crocodile Hunter memasang jerat buaya di Sungai Nyabut, Kampung Trombol Telaga Air, pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya Latif Iring berkata langkah tersebut antara usaha untuk mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Adami Moktar, 7 tahun yang dipercayai disambar buaya pada 21 Mei lalu.
Menurutnya, hari ini adalah hari keempat operasi SAR mangsa.
“Hari ini, kita akan membantu Samarahan Crocodile Hunter memasang jerat atau umpan untuk memerangkap buaya tersebut.
“Mudah-mudahan usaha ini akan mendatang hasil,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Ujarnya lagi, operasi SAR hari ini bermula dari jam 6.30 pagi tadi dengan menumpukan pencarian di radius 5 kilometer ke hulu dan hilir dari lokasi kejadian.
Turut sama dalam operasi SAR tersebut ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
“Unit anjing pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM turut menyertai operasi tersebut,” katanya.
Terdahulu, mangsa Mohammad Adami Moktar telah dilaporkan hilang selepas dipercayai disambar buaya ketika sedang mengambil air di sungai tersebut pada Sabtu, sekitar jam 8.30 pagi.
Semasa kejadian, mangsa dikatakan bersama nenek dan dua orang kakaknya.