Tempatan

Bot karam Kapit: Mangsa terakhir sudah ditemui

KAPIT: Jasad mangsa terakhir bagi kejadian bot karam di Sungai Batang Baleh di sini telah ditemui jam 11.30 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak Pusat Kawalan Bomba (PKB) telah menerima makluman dari orang awam yang menemui jasad Iskandar Ibrahim yang terapung di kawasan Seputin.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke lokasi yang dilaporkan dan didapati benar terdapat jasad terapung di sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau lagi, hasil pengecaman pada pakaian yang dipakai oleh mangsa, didapati mangsa tersebut adalah mangsa terakhir insiden.

Katanya lagi, jasad mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, pada 7 Mac lepas, jam 5 petang, sebuah bot yang dinaiki lima individu yamg membawa bahan letupan seberat 35 kilogram dan peledak dari Kuching ke Nanga Tulie karam di Sungai Batang Baleh berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh.

Seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi hilang dibawa arus deras dan ditemui meninggal dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *