KUCHING: Seorang budak lelaki Eric Chang Wei Jien berusia empat tahunyang hilang sejak 7 Mac lalu masih belum ditemui.
Ibu mangsa, Dynasty Chang Kah Hui meminta orang ramai menjejaki anaknya yang hilang itu.
Katanya, dia telah meninggalkan Eric dengan seorang rakannya yang juga pengasuh pada 21 Februari 2022 selepas dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.
Bagaimanapun, usahanya untuk mengambil kembali anaknya tidak berhasil selepas rakannya memberi banyak alasan dan gagal dikesan.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo berkata, pengasuh itu cuma memberitahu mengenai kehilangan Eric pada 7 Mac lepas.
Pada hari yang sama juga, Chang telah membuat laporan polis berhubung dengan kehilangan anaknya itu.
Selepas itu, orang ramai membantu mencari kanak-kanak itu dan sehingga kini masih menemui jalan buntu.
Kali terakhir Eric dilihat di rumah pengasuhnya di Taman Riverview dengan memakai baju T berwarna biru dan seluar hitam.
Orang ramai boleh menghubungi Chang di talian 011-27818688, Lee Fook Chuan 011-17818573 atau Pusat Khidmat SUPP Pending di talian 011-19038660 sekiranya mempunyai maklumat.
Sementara itu, Ketua Polis Bahagian Kuching ACP Ashmon Bajah mengesahkan kes itu dan kini sedang membuat siasatan.