Tempatan

Bukan semua kayu belian digunakan untuk bina jeti Kampung Mutap – Penduduk kampung

BEKENU: Tidak semua jeti kayu Kampung Mutap menggunakan kayu belian seperti yang didakwa kontraktor sebelum ini.

Menurut seorang penduduk kampung yang dikenali Mohamad Nor Tambi, 45 tahun, beliau terkejut apabila diberitahu kesemua jeti itu menggunakan kayu belian seperti yang didakwa kontraktor dan hanya mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.

Katanya, hanya bahagian binaan tangga dan tiang sahaja dipercayai menggunakan kayu belian manakala selebihnya menggunakan campuran kayu keras yang lain.

“Turut menjadi persoalan kepada kami projek ini dikatakan mengambil masa tiga bulan namun dua bulan siap awal daripada jadual sedangkan kontraktor hanya menyiapkan projek itu dalam tempoh tiga hari,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo pada Jumaat.

Mohamad Nor tinggal berdekatan dengan jeti itu dan sangat terkejut apabila mengetahui kos pembuatan jeti itu sangat tinggi RM50,000 seperti yang dimuat naik Komunikasi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menerusi Facebook pada 6 April lalu.

Sehingga hari ini beliau masih tidak mempercayai jeti di hadapan rumahnya itu menelan kos sebanyak itu dan menyifatkan kos itu tidak masuk akal.

Kos pembinaan jeti tersebut bukan hanya menimbulkan persoalan kepada netizen di media sosial sehigga menjadi tular di seluruh negara, malah penduduk kampung sendiri mengakui masih terkejut dengan kos sebenar pembinaan jeti tersebut.

“Jangankan netizen, saya sendiri pun mempersoalkan kos jeti ini.

“Pada mulanya saya tidak tahu mengapa jeti ini menjadi isu panas dan tular. Sehinggalah saya membaca di media sosial kos pembinaan berjumlah RM50,000.

“Saya berpendapat ia tidak menjadi isu sekiranya kos hanya RM30,000 berdasarkan (struktur) jeti yang sudah siap,” tambahnya.

Beliau dan penduduk Kampung Mutap melahirkan rasa tidak puas hati dan perasaan ragu-ragu dengan keselamatan jeti tersebut.

“Sepatutnya jeti ini mempunyai susur tangan, pagar dan atap untuk keselamatan dan keselesaan penduduk.

“Kami dapati jeti ini tidak mempunyai palang yang mencukupi. Mujurlah ada dua tangga, jika tidak ia mungkin tidak stabil,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *