Tempatan

Buku ‘Unequal Partners: Race, Religion, Domination and Inequality in East Malaysia’, kupas ketidakadilan di Sabah & Sarawak

KUCHING: Dalam satu usaha mencorakkan pandangan unik dan membangkitkan kesedaran terhadap ketidakadilan di Sabah dan Sarawak, Datuk Dr. Johan Ariffin Samad telah melancarkan bukunya yang berjudul “Unequal Partners: Race, Religion, Domination and Inequality in East Malaysia”.

Johan berkata, buku berkenaan bukan sahaja mengumpulkan penulisan-penulisan beliau sejak 2017, malah meneliti secara mendalam isu-isu politik, sosial, dan ekonomi yang menghantui Borneo.

Menurutnya, kandungan buku tersebut juga membawa pembaca dalam perjalanan meninjau segala ketidakadilan yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak.

“Saya mula aktif dalam penulisan ini dengan beberapa portal seperti Malaysia Insight, Free Malaysia Today, dan Daily Express Kota Kinabalu.

“Jadi saya mula membuat penulisan mengenai isu-isu di Sabah dan Sarawak berkaitan isu politik, sosial, ekonomi dan sebagainya yang mana secara ringkasnya mengenai hal ehwal semasa negeri-negeri Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku yang dihasilkannya itu di Pustaka Negeri Sarawak di sini pada Sabtu.

Menjelas lanjut, Johan atau nama penanya Joe Samad memberitahu, penulisan buku tersebut juga adalah bersempena dengan 60 tahun penubuhan Malaysia yang mengambil kira bagaimana nasib sebagai sebuah negara selepas tempoh berkenaan.

Katanya, kandungan buku berkenaan turut meneliti geopolitik terutama sekali apabila Indonesia akan datang untuk membina ibu kota mereka di Kalimantan.

“Saya harus menulis sesuatu bagaimana pandangan warga Borneo (Malaysia Timur) terhadap negara.

“Saya menulis tentang “The geopolitics of the region: Moving forward Borneo as an island nation” dengan Indonesia akan datang untuk membina ibu kota mereka di Kalimantan.

“Jadi, ia membincangkan fungsi geopolitik. Kita perlu bercakap mengenai konteks geoplitik kerana sesetengah daripada kita bercakap tentang meninggalkan Malaysia untuk merdeka. Jadi saya perlu menerangkan untuk mereka yang berminat dalam isu tersebut,” ujar beliau.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Sabah itu menjelaskan bahawa galakan untuk menulis mengenai ketidakadilan di Borneo muncul kerana beliau merasakan banyak ketidakadilan yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan terhadap negeri Sabah dan Sarawak terutamanya dalam aspek pembiayaan pembangunan.

“Kita selalu mengadu mengenai infrastruktur, sekolah, air, elektrik, jalan raya dan sebagainya.

“Kita tengok beza ibu kota Kuala Lumpur dengan negeri kita betapa mereka maju berbanding negeri kita.

“Mereka mempunyai ibu kota yang berkembang pesat, jaringan jalan raya yang terancang, dan kemudahan lapangan terbang. Jadi dari situ kita boleh bandinglah sejauh mana kita ketinggalan dari segi pembangunan,” tambahnya.

Johan juga menekankan bahawa ketidakadilan pembangunan tidak hanya bersifat fizikal tetapi juga mental sebagai sebuah negara.

Beliau berharap bahawa bukunya akan mencetuskan perbincangan dan perdebatan yang lebih intensif, terutamanya di kalangan pemimpin politik dan masyarakat.

Beliau percaya bahawa dengan membaca karyanya, mereka dapat memahami dengan lebih mendalam isu-isu yang diangkat, dan membantu menterjemahkan pembahasan tersebut kepada tindakan nyata di peringkat negeri dan parlimen.

Johan memaklumkan, buku “Unequal Partners: Race, Religion, Domination and Inequality in East Malaysia” pada masa ini buku berharga RM60 itu sudah habis dijual dan cetakan kedua akan keluar pada Januari 2024.

Beliau memaklumkan, buku itu turut dijual secara atas talian iaitu di aplikasi Lazada dan Shoppee.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022

Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/

Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/

Twitter: https://twitter.com/sarawak_news

Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknewsofficial/

Tiktok: https://www.tiktok.com/@sarawaknews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *