KUCHING: Cadangan Sarawak dan Sabah untuk menambah bilangan kerusi Parlimen akan dibuat menerusi persempadanan semula satu pertiga kerusi Parlimen melalui proses undang-undang.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu perlu mengikut proses seperti yang terkandung dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Perlembagaan tersebut menyatakan sebarang semakan atau kajian mengenai persempadanan semula hanya boleh dilakukan 8 tahun sekali.
“Kali terakhir ia dikaji untuk Sarawak adalah pada 2015 manakala Sabah pada 2017.
“Maknanya bagi Sarawak, kalau kita lihat penambahan kerusi Parlimen ini hanya akan berlaku selepas 8 tahun iaitu menjelang 2023 dan kajian akan dibuat setahun kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Mesra Bersama Rakyat di Kampung Tanjong Bako pada Ahad.
Tambah Datuk Seri Wan Junaidi lagi, tuntutan untuk satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak tidak ditulis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962, Suruhanjaya Cobbold dan Perlembagaan Persekutuan.
“Ia hanya disebut dalam Laporan IGC bahawa perimbangan bilangan kedudukan (kerusi) yang diperuntukkan kepada Sarawak dan Sabah dalam dewan perlu dikekalkan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu pada 1963, jumlah kerusi yang diperuntukkan bagi Sarawak, Sabah dan Singapura ialah 55 daripada 159.
“Bagaimanapun, apabila Singapura keluar dari Malaysia pada 7 Ogos 1965 dan kerusi kosong itu tidak diagihkan kepada Sabah dan Sarawak, menjadikan kedua-dua wilayah itu mempunyai 25 peratus peruntukan kerusi.
“Justeru, inilah yang kita cuba pulihkan supaya perimbangan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak pada 1963 dikekalkan kepada 34 peratus atau lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi Parlimen,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan, Sarawak dan Sabah mempunyai jawatankuasa sendiri yang diketuai oleh Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah.
“Melalui saluran ini, kami akan dapat mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri.
“Jika diluluskan, pelaksanaan penambahan kerusi akan dilakukan secara berperingkat- peringkat,” ujarnya.