Tempatan

Cadangan Perjanjian Malaysia baharu langgar asas pembentukan Malaysia

KUCHING: Cadangan untuk mengusulkan Perjanjian Malaysia yang baharu bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan melanggar asas pembentukan Malaysia, demikian tegas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Jelasnnya, jika Perjanjian Malaysia baharu dibuat, ini bermakna perjanjian MA63 akan terbatal.

“Jika kamu batalkan perjanjian, maka pembentukan Malaysia akan menjadi persoalan kerana ia (MA63) adalah asas kepada pembentukan negara ini.

“Sebab itu, saya rasa apa yang dicadang Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan sepatutnya tidak disebut,” katanya kepada wartawan selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lembu dan Daging Korban bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong di Masjid Al-Kawthar, Gedong pada Ahad.

Katanya, apa yang dihendaki ialah pelaksanaan syarat yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia dan juga hasil daripada perbincangan dengan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Saya rasa menteri kita telah membuat kenyataan dan dari sudut negeri Sarawak itu adalah merupakan perkara asas.

“MA63 adalah perjanjian yang menubuhkan negara dan ini telah dipersetujui oleh para pemimpin kita terdahulu,” katanya.

Beliau memberitahu, apa yang berlaku sekarang ialah kebanyakan daripada syarat-syarat MA63 yang telah dipersetujui telah terhakis.

“Ini yang kita buat sekarang untuk memperbetulkan syarat-syarat tersebut dan oleh itu, tidak perlu untuk kita membuat Perjanjian Malaysia yang baharu,” katanya.

Menurutnya, ketika ini  kerajaan Sarawak masih berunding dengan kerajaan persekutuan mengenai perkara tersebut.

“Jadi biarlah kita teruskan rundingan ini (MA63), dan saya percaya pada akhirnya, kita akan dapat membuat keputusan yang dikehendaki oleh Sabah dan Sarawak,” katanya. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *