KUCHING: Cadangan proses penukaran status Pelabuhan Bintulu akan dikemukakan dalam masa yang terdekat, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau menjelaskan, cadangan berkenaan akan diserah kepada Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum ia dibawa ke kabinet untuk keputusan selanjutnya.
“Sekarang ada jawatankuasa kecil yang ditugaskan dan dibantu oleh menteri bertanggungjawab untuk Sabah dan Sarawak.
“Kita akan kemukakan cadangan kepada jawatankuasa teknikal untuk dibentangkan kepada jawatankuasa induk MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain bersempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di sini pada Jumaat.
Douglas Uggah yakin cadangan tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan agar isu itu dapat dimuktamadkan.
Menurut beliau lagi, Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) telah bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Katanya, ia juga akan dianggotai oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) serta Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak (MIPD) bagi menyiapkan laporan penuh dan mengemukakan cadangan proses penukaran status pelabuhan berkenaan.
Foto: UKAS
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/