KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin menggesa Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen perlu mendapatkan peruntukan dari Kerajaan Persekutuan untuk membantu melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan Skim Penempatan Semula Stampin.
Jelas Wilfred Yap, projek ini berada di bawah senarai bersama dan ia menjadi tanggungjawab kedua-dua kerajaan iaitu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk melaksanakannya secara bersama.
“Kita sekarang berada di bawah Kerajaan Perpaduan, dan projek ini di bawah senarai bersama… Jadi, saya harap Chong dapat mendorong Kerajaan Persekutuan untuk memperuntukkan dana separuh daripada jumlah keseluruhan projek itu (RM350 juta).
“Saya menggesa Ahli Parlimen Stampin untuk mendapatkan RM175 juta dari Kerajaan Persekutuan kerana Kota Sentosa ini adalah sebahagian daripada kawasannya dan beliau juga pernah menjadi ADUN di Kota Sentosa selama tiga penggal,” katanya dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.
Ujarnya lagi, dengan bantuan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, ia akan dapat meringankan beban kewangan Sarawak sekali gus membolehkan wang itu digunakan bagi membangunkan kawasan lain yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.