Tempatan

Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 cetus kluster baharu

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan satu kluster baru iaitu Citrawarna Kuching menerusi laporan harian COVID-19 Sarawak pada Rabu.

Menurut JPBN Sarawak, ia merupakan kluster komuniti yang melibatkan kes yang terlibat secara langsung dalam Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung selama 4 hari bermula 24 hingga 27 Februari 2022 di Tebingan Kuching, Sarawak.

“Seramai 21 orang telah disahkan positif COVID-19 termasuk kes indeks, 32 orang lagi didapati negatif dan 6 masih menunggu keputusan,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, kes indeks (Kes Ke-259,147) bagi kluster tersebut merupakan seorang lelaki yang berusia 45 tahun , seorang warga tempatanyang dikesan positif COVID-19 melalui saringan individu bergejala pada 27 Februari di sebuah hospital swasta di Kuching.

Seramai 58 orang kontak rapat telah dikenal pasti dan menjalani saringan di mana 21 orang (termasuk kes indeks) telah dikesan positif.

“Perebakan jangkitan dipercayai berpunca daripada pergaulan dan kontak rapat dalam kalangan mereka semasa menghadiri program tersebut dan telah merebak sehingga ke generasi jangkitan kedua.

“Dimaklumkan juga terdapat 24 kes positif lain yang telah dilaporkan (bukan kluster Citrawarna) turut mempunyai sejarah pergerakan menghadiri program di Tebingan Kuching, Sungai Sarawak,” ujarnya.

Sehubungnan itu, individu yang mempunyai sejarah menghadiri Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching dinasihatkan membuat pemantauan kendiri sekiranya mengalami sebarang tanda dan gejala. -SN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *