KUCHING: Malang terus menimpa pasukan Kuching City FC (KCFC) apabila terpaksa menangguh dua lagi perlawanan Liga Premier.
Malaysian Football League (MFL) dalam kenyataan pada Jumaat memberitahu perlawanan Liga Premier antara KCFC bertemu Terengganu FC II di Stadium Negeri, Kuching pada 19 Mac 2022 (Sabtu) terpaksa ditunda ke tarikh baharu.
Ia susulan seramai 18 pemain dan pegawai KCFC telah disahkan positif COVID-19.
Sekali gus ia menyaksikan perlawanan menentang Selangor FC 2 di Stadium UiTM, Shah Alam pada 27 Mac 2022 juga terpaksa ditunda.
Sebelum ini, KCFC juga terlepas perlawanan pembukaan Liga Premier menentang PDRM FC pada 7 Mac dan aksi pusingan pertama Piala FA menentang UiTM FC pada 15 Mac.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KCFC, Iswandi Ali Hassan ketika ditemui pada Jumaat melahirkan rasa kecewa dengan penundaan terbaharu itu namun akur demi memastikan keselamatan semua pihak.
“Memang agak kecewa kerana pemain sudah teruja untuk turun beraksi esok namun terpaksa menunggu lagi.
“Apapun, kita tetap akur dengan penundaan ini untuk keselamatan semua,” katanya.
Katanya, bagi mengekalkan tahap kecergasan, pemain yang tidak dijangkiti akan terus menjalani latihan seperti biasa.
Manakala pemain yang dijangkiti akan menjalani latihan secara kendiri di rumah.
Jelasnya, langkah ini perlu untuk memastikan tahap kecergasan pemain tidak hilang akibat terlalu lama berehat.
Pasukan The City Boys dijadual menentang UiTM FC dalam aksi Piala FA di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 31 Mac 2022. – SN