Nasional

Cuaca panas yang berlaku hari ini sehingga Ogos

KOTA BAHRU: Cuaca panas yang berlaku hari ini dijangka akan berlaku secara berpanjangan sehingga Ogos ini berikutan musim peralihan monsun. 

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, cuaca panas itu membabitkan semua negeri, namun yang paling terkesan ialah negeri di utara dan pantai timur.

“Kawasan di utara lebih teruk dan paling ketara dengan ada kawasan bersempadan dengan Thailand mencecah suhu lebih 37 darjah celcius.

“Kita jangka keadaan ini berlarutan sehingga Ogos kerana peralihan monsun. Selepas Ogos dijangka kembali hujan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 70 asnaf di sini, hari ini.

Terdahulu, daerah Jeli telah merekodkan cuaca panas pada gelombang haba tahap dua yang suhu hariannya dijangka boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, bermula Jumaat.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi berkata, 15 kawasan lain di Semenanjung pula berada pada tahap satu, iaitu pada kategori berjaga-jaga.

Ujar Nik Nazmi lagi, susulan musim panas yang berpanjangan tanpa hujan akan menyebabkan beberapa kawasan dilanda jerebu.

“Beberapa kawasan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, termasuk Tanah Merah dan Cheras.

“Bila cuaca panas kebakaran hutan terutama kawasan tanah gambut mudah berlaku yang boleh menyumbang kepada masalah jerebu lebih teruk.

“Untuk mengekang masalah itu, kita bekerjasama dengan pelbagai agensi membabitkan beberapa kementerian, bagi memantau pembakaran terbuka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *