Tempatan

Cuba lakar sejarah terbang ke Sabah guna ‘sirat’, berkaki ayam

KUCHING: Sekumpulan ‘Orang Asal’ dari Sarawak berhasrat untuk melakar sejarah dengan menaiki pesawat berkaki ayam sambil mengenakan pakaian tradisional Iban ‘sirat’ untuk mempromosi budaya Sarawak dalam jelajahnya ke Sabah.

‘Sirat’ adalah pakaian yang kebiasaannya digunakan dengan cara melilitnya dipinggang dan celah kelengkang.

Aktivis sosial dan hak asasi manusia, Peter John Jaban yang mengetuai delegasi itu berkata kumpulan dianggotai kira-kira 72 orang akan bertolak dari Miri ke Kota Kinabalu pada 30 April di mana perjalanan mereka akan bermula pada 4 Mei.

“Kita merancang untuk mempromosikan budaya dan gastronomi Sarawak sambil pada masa sama mempromosi acara Festival Hutan Hujan Sedunia (RWMF) akan datang.

“Dalam jelajah ini, seramai 60 peserta akan melakar sejarah dengan menggunakan ‘sirat’ dalam pesawat dengan berkaki ayam sambil memperagakan tatu di bahagian atas tubuh mereka yang terbuka,” katanya.

Terdahulu, kumpulan kecil delegasi tersebut mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Kesenian, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur pada Selasa.

Dalam kunjungan berkenaan, Pengurus Besar Delegasi, Dr. Robert Lingga turut menjelaskan kepada Dato Sri Abdul Karim mengenai perjalanan kumpulan tersebut.

Menurut Peter lagi, pihaknya merancang perjalanan tersebut pada November 2021 dengan semua perbelanjaan makan, penginapan dan penerbangan ditanggung sendiri oleh mereka.

Bagaimanapun di saat akhir, Dato Sri Abdul Karim dan Timbalannya, Datuk Snowdan Lawan secara prinsipal bersetuju untuk membantu kumpulan itu dari segi perbelanjaan.

“Bagi pihak delegasi kami, saya ingin merakamkan penghargaan ke atas Dato Sri Abdul Karim dan Datuk Snowdan Lawan atas sokongan dan respons yang pantas terhadap kami walaupun keduanya memiliki jadual yang padat,” jelasnya.

Menjelas lanjut mengenai perjalanan tersebut, Peter memberitahu mereka akan disambut delegasi Orang Asal Sabah diwakili Dayak International Organisation (DIO) dan Dayak Ritual Awareness Fellowship (DRAF) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan terus bergerak ke Sabah Waterfront untuk mengadakan persembahan kebudayaan.

Mereka akan melawat Kampung Murut di Tenom pada 1 Mei disusuli Baru Sumpah di Keningau dan komuniti Dusun atau Kadazan di Tambunan pada keesokan harinya.

Delegasi itu juga akan mengadakan demo tatu, kraftangan dan memasak di Monaruli Garden Resort di Penampang pada hari sama dan 3 Mei.

Menurut Peter lagi, perjalanan itu juga menjadi projek percubaan mereka dalam usaha mencatat rekod dalam Guinness World Records. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *