Nasional

CUEPACS minta JPA pertimbang penambahbaikan skim perkhidmatan pembantu tadbir

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempertimbangkan penambahbaikan skim perkhidmatan pembantu tadbir melalui pertambahan gred daripada lantikan N19 kepada gred baharu.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata cadangan itu (menaikkan gaji kakitangan awam Gred 19 kepada Gred 29) sudah banyak kali dikemukakan kepada JPA, namun tiada sebarang tindakan diambil.

“Mesyuarat jawatankuasa tertinggi CUEPACS pada petang tadi membincangkan mengenai skim perkhidmatan awam tidak setara atau ketinggalan, iaitu berada pada perjawatan sama sejak mula perkhidmatan sehingga persaraan.

“Sebab itu, kami berbincang bagaimana untuk menyuarakan semula kepada kerajaan, mungkin dalam bentuk data dan sebagainya supaya pihak berwajib boleh membuat semakan khas skim yang berkhidmat melangkaui skop tugasan biasa, berbanding suatu ketika dahulu,” katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa CUEPACS di sini pada Sabtu.

Ujar Adnan lagi, gred itu tidak berubah berikutan kelayakan memasuki perkhidmatan awam mengikut kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sedangkan daripada fungsi tugas harian dilalui penuh cabaran serta melangkaui bebanan kerja sedia ada.

“Terdapat kira-kira 350,000 pembantu tadbir (dahulu jawatannya kerani) dalam sektor perkhidmatan awam dan jawatan ini wujud sejak merdeka.

“Mereka bukan terhalang naik gaji tetapi perjawatan atau gred mereka tidak berubah, berbanding jawatan juruteknik dan juruaudit kini berubah daripada Gred 19 kepada Gred 29.

“Kita memohon kenaikan kerana beban tugas pembantu tadbir jauh sudah berubah dan jika ada kenaikan hanya membabitkan kenaikan RM45, iaitu RM100 kepada RM145.

”Selain itu, mungkin kelayakan masuk minimum berkelulusan diploma dan bukan lagi menggunakan SPM,” katanya.

Pada Julai tahun lalu, CUEPACS mengesa kerajaan menaikkan Gred 19 kepada Gred 29 dan menyatakan pihaknya mahu berpiket di Putrajaya bersama penjawat awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *