Tempatan

Dana Berdaulat pacu pertumbuhan ekonomi Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Dana Berdaulat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November depan. 

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, RUU tersebut jika dilaksanakan akan menjadi sebahagian simpanan bagi ekonomi Sarawak pada masa depan. 

“November nanti ada undang-undang baharu yang akan saya buat untuk masa depan anak-anak Sarawak. Ini termasuklah memberi mereka pengetahuan yang secukupnya dengan mengambil kira persekitaran ekonomi global yang sentiasa berubah, seperti yang disebut ‘new economy’.

“Kita akan menubuhkan Dana Berdaulat sendiri dan ini akan membawa pulangan positif kepada eknomi negeri pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sama Riang Aidilfitri Samariang Bersama Premier Sarawak di sebuah hotel terkemuka di Kuching pada Sabtu.

Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, dalam ekonomi yang berubah kepada ekonomi baharu, terdapat keperluan untuk memastikan rakyat Sarawak dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran.

“Saya percaya kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sentiasa mempunyai ieda baharu dan rancangan terbaik demi kepentingan rakyat Sarawak,” jelasnya.

Cadangan melaksanakan Dana Berdaulat ini akan dibuat sebaik sahaja kajian mengenainya dibuat dan diluluskan di DUN Sarawak akan datang. 

Tambahnya lagi, PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus bekerjasama dalam usaha membangunkan Sarawak dan menjadikan negeri ini maju menjelang 2030.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *