KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menyediakan dua kawasan yang akan dijadikan sebagai bazar Ramadan pada tahun ini.
Dua kawasan itu ialah di Satok dan perkarangan tempat letak kereta Mydin Mall Semariang.
Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, proses pendaftaran dan jualan petak akan diadakan pada 26 Mac ini di Auditorium DBKU, Bukit Siol, Jalan Samariang.
Bagi pendaftaran dan jualan tapak Bazar Ramadan Satok bermula pada jam 8:30 pagi hingga 10:00 pagi manakala Bazar Ramadan Mydin Semariang pada jam 10:30 pagi hingga 11:30 pagi.
Tambah Datuk Dr. Abdul Rahman, bilangan tapak yang ditawarkan pada tahun ini adalah terhad bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) penjarakan sosial di kalangan penjaja.
“Tapak Bazar Ramadan Satok menyediakan 56 petak jualan dengan kadar bayaran RM225 satu petak bagi minuman serta makanan dan RM250 bagi jualan panggang.
“Bagi pekarangan tempat letak kereta Mydin Mall Semariang, terdapat 96 petak jualan
disediakan dengan kadar bayaran RM150 bagi makanan serta minuman dan RM200 untuk jualan panggang,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.
Ujar beliau lagi, semua pemohon mesti hadir sendiri dan membawa dokumen yang diperlukan seperti dua keping gambar berukuran pasport pemohon dan seorang pembantu, satu salinan kad pengenalan pemohon dan seorang pembantu, satu salinan sijil kursus pengendali makanan pemohon dan seorang pembantu, satu salinan sijil vaksinasi COVID-19 lengkap dua dos (MySejahtera) pemohon dan seorang pembantu dan yuran pembayaran (tunai).
“Selain itu, kad pengendali makanan akan dikeluarkan dan dicaj sebanyak RM10 untuk setiap penjaja yang telah berdaftar.
“Bagi yang telah mempunyai kad pengendali makanan yang masih sah, sila bawa salinan kad tersebut semasa hari pendaftaran,” katanya lagi.
Tambah beliau, penjaja termasuk pembantu telah disahkan sihat oleh Pegawai Perubatan Kerajaan atau Swasta dan mendapatkan suntikan pelalian tifoid serta menjalani Kursus Pengendalian Makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu, Peniaga juga dilarang menggunakan bekas styrofoam atau ’polystyrene’ untuk menyimpan makanan.
“Larangan penggunaan bekas ini sebagai pembungkus makanan dibuat adalah kerana ia boleh menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar dan memudaratkan tahap kesihatan orang awam,” tegasnya.
Untuk keterangan lanjut boleh hubungi Bahagian Pelesenan DBKU di talian 082-512955.