SIBU: Polis di sini menahan dua beranak selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dan pengalahgunaan dadah di sebuah rumah di Jalan Keranji, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili yang dipetik berkata dalam Utusan Borneo menjelaskan, kedua-dua suspek berusia 53 dan 28 tahun itu ditahan bersama dadah jenis ekstasi bernilai RM171,270.
“Kedua-dua suspek ditahan dalam serbuan yang dijalankan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Sibu pada jam 5.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan di rumah berkenaan telah menjumpai 99 peket plastik berisi dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat 3,240 gram bernilai RM171,000.
Tambahnya, pemeriksaan lanjut di lokasi sama turut menjumpai 18 biji pil warna merah jambu disyaki pil jenis ekstasi seberat 5.60 gram bernilai RM270,” katanya sambil menambah, keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM171,270.
Menurut Zulkipli, ujian saringan air kencing yang dijalankan juga mendapati lelaki berusia 28 tahun itu positif dadah jenis Methamphetamine dan ‘Amphetamine, manakala wanita berusia 53 tahun itu negatif dadah.
Katanya, suspek lelaki ditahan reman selama tujuh hari bermula Khamis manakala ibunya direman tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.
“Kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama,” katanya.
Jika sabit kesalahan, hukuman di bawah Seksyen 39B ADB 1952 memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati manakala Seksyen 15(1)(a) boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali serta pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952. – SN