Tempatan

Dua lagi rakyat Sarawak jadi mangsa pemerdagangan manusia & sindiket pekerjaan di Kemboja berjaya dibawa pulang

SIBU: Dua lagi rakyat Sarawak yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja berjaya dibawa pulang.

Bagaimanapun maklumat mengenai kedua-dua individu yang berasal dari Sibu itu tidak didedahkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata mangsa terperdaya dengan tawaran pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan menerusi Facebook yang diperkenalkan rakan pada Mac lalu.

“Kedua-dua mangsa terperdaya dengan tawaran tersebut dan berlepas ke Kemboja selepas selesai urusan dokumen perjalanan dan pasport.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata mangsa terperdaya dengan tawaran pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan menerusi Facebook yang diperkenalkan rakan pada Mac lalu.

“Kedua-dua mangsa terperdaya dengan tawaran tersebut dan berlepas ke Kemboja selepas selesai urusan dokumen perjalanan dan pasport.

“Setelah tiba di sana, pasport dan telefon pintar mereka dirampas oleh majikan dan hanya dibenarkan menggunakannya seminggu sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Lebih malang, katanya mangsa dilayan seperti tahanan di tempat kerja dan asrama.

Menurut Tiong, skop kerja mereka adalah sebagai penipu atau ‘scammer’ untuk mendapatkan wang daripada orang ramai.

Malah, mereka juga perlu mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dan bakal berdepan hukuman sekiranya ia gagal dipenuhi.

Dalam pada itu, Tiong menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha menyelamatkan rakyat Sarawak daripada terus menjadi mangsa penipuan pekerjaan luar negara.

“Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Kedutaan Kemboja di Malaysia, Polis Antarabangsa (Interpol), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan semua pihak terlibat kerana bekerjasama dengan baik sehingga berjaya membebaskan dua mangsa terbabit.

“Sebagai Duta Khas ke China, saya turut berterima kasih atas bantuan diberikan rakan-rakan sejawat dan kakitangan Pejabat Duta Khas sepanjang operasi sehingga berjaya menyelesaikannya dengan amat baik dan saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya lagi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja yang menjanjikan bayaran lumayan.

Sebaliknya, katanya semakan latar belakang syarikat yang menawarkan pekerjaan tersebut perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Untuk rekod, ini merupakan kes kedua penipuan pekerjaan yang melibatkan rakyat Sarawak di Kemboja.

Sebelum ini, seramai 47 rakyat Malaysia diperdaya sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja dengan 40 daripada mereka berasal dari Sarawak.

Pada 17 Februari 2019, kesemua mangsa berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas ditahan selama 65 hari di Penjara Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja.

Mereka ditahan polis Kemboja dalam serbuan pada 11 Disember 2019 di dua rumah mewah di Siem Reap yang menjadi tempat kurungan mereka sejak November 2019.

Pembebasan dari penjara dan membawa mereka balik ke negara ini diusahakan Kerajaan Sarawak bersama Wisma Putra serta bantuan Kerajaan Kemboja.-ASTRO AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *