Tempatan

DUN Sarawak lulus Belanjawan Negeri 2023 berjumlah RM10.797 bilion

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2023), 2022 atau Belanjawan Negeri 2023 berjumlah RM10.797 bilion.

Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, belanjawan itu diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan selepas dibahaskan selama tiga hari bermula 23 hingga 25 November lalu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan DUN hari ini, berkata dengan kelulusan Belanjawan Negeri 2023, kerajaan boleh bergerak ke hadapan melaksanakan RUU-RUU bagi mentadbir kerajaan dengan cekap demi manfaat rakyat.

“Sepanjang persidangan ini, ahli-ahli Dewan yang mulia ini telah membangkitkan banyak isu dan kebimbangan, yang merangkumi pelbagai aspek, termasuk pembangunan infrastruktur dan utiliti, ekonomi digital, pembangunan luar bandar, pendidikan dan pembangunan sosial,” katanya.

Abang Johari juga berkata Sarawak seperti negeri lain, berdepan cabaran disebabkan kelembapan ekonomi global dan ketegangan geopolitik terutama sejak beberapa tahun lalu apabila wabak COVID-19 mengganggu rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan dunia.

Walaupun ketidaktentuan ini telah mewujudkan banyak risiko kemerosotan dan kebimbangan terhadap ekonomi Sarawak, ia juga telah memberi kerajaan negeri khasnya peluang menunjukkan daya tahan mengatasi kesukaran ekonomi dan membangunkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Ini katanya yang akan meletakkan Sarawak pada laluan yang jelas ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Saya gembira melihat ekonomi Sarawak meningkat dan berada di landasan pemulihan semasa kita menuju ke arah endemisitas tetapi kerajaan GPS tidak akan berpuas hati.

“GPS akan terus membawa lebih banyak pembangunan ke Sarawak dan melawan segala rintangan dan cabaran yang mungkin datang kepada kita,” katanya.

Justeru ujarnya, adalah penting Sarawak perlu memberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan dan budaya kerja untuk mencapai produktiviti yang lebih tinggi, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) lebih tinggi dan meningkatkan daya saing sektor komersil serta perindustrian bagi mendapatkan keyakinan pelabur terutama pelabur asing.

Kerajaan GPS juga katanya, akan terus memberi dorongan untuk memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak dengan menambah baik infrastruktur dan pengangkutan asas, ketersambungan dan kebolehcapaian udara dan laut, pembangunan bakat melalui sistem pendidikan dan latihan lebih baik, meningkatkan kadar ke arah ekonomi digital dan meningkatkan standard kehidupan penduduk luar bandar.

“Ini akan mewujudkan peluang kepada rakyat Sarawak untuk mengambil bahagian dalam pembangunan perindustrian negeri terutama dalam industri berasaskan sumber, iaitu sektor minyak dan gas,” tambahnya.-UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *