Rencana

Ekonomi gig jadi alternatif rakyat jana pendapatan baharu

Pada tahun 2008 istilah ekonomi gig mula mendapat perhatian dan popular dalam kalangan masyarakat akibat dunia mula dilanda kegawatan ekonomi.

Ekonomi gig adalah salah satu pilihan pekerjaan berasaskan kontrak jangka pendek atau dilakukan secara bebas (freelance) yang disokong dengan menggunakan aplikasi teknologi. Perkembangan ekonomi gig selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ia mencetuskan satu fenomena baharu membabitkan trend pendigitalan kerja yang berkonsep perkongsian ekonomi atau turut dikenali sebagai ‘collaborative economy’, ‘digital economy’, ‘crowd economy’ dan ‘peer economy’.

Pada Belanjawan 2020, ia mula menerapkan fokus utama dalam kemajuan ekonomi negara membabitkan ekonomi digital. Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) turut memberi tumpuan khas kepada pengembangan ekonomi gig sebagai salah satu dimensi ekonomi baharu untuk diketengahkan.

Tumpuan utama mula diberikan dalam pelbagai aspek pembangunan membabitkan pembinaan aplikasi, infrastruktur, syarikat dan masyarakat digital. Usaha ini tidak wajar dipandang enteng oleh masyarakat memandangkan ia batu loncatan untuk terbabit secara langsung dalam rantaian penjanaan pendapatan bagi menggantikan pekerjaan tradisional.

Hasil usaha kerajaan wajar disambut masyarakat khususnya ketika kita masih berusaha bangkit daripada impak COVID-19. Berdasarkan kajian dijalankan Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC), kira-kira 650,000 rakyat Malaysia terbabit dalam sektor itu sehingga akhir tahun lalu dan dijangka terus bertambah saban tahun.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan menyatakan berlaku peningkatan jumlah penyertaan masyarakat khususnya golongan belia yang celik teknologi dalam ekonomi gig selepas penularan pandemik di negara ini.

Ia mula mencorak landskap ekonomi negara untuk beralih kepada ekonomi digital. Tambahan lagi, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang mengurangkan kebergantungan kepada model ekonomi lama tetapi banyak lagi negara rantau Asia turut mengikut jejak sama.

Antara syarikat terbabit membina platform aplikasi teknologi ialah Grabfood, Food panda, BungkusIt, Lalamove, Lazada, Shopee, AirBnB, TaskRabbit, Gran dan MyCar.

Kemunculan pelbagai platform digital ini memberi ruang lebih besar kepada penjanaan ekonomi rakyat Malaysia di samping memberi peluang pekerjaan kepada rakyat yang terjejas pendapatan mereka.

Dalam era endemik, individu kini boleh menjana pendapatan secara produktif, fleksibel dan mampan kerana ekonomi gig menawarkan pelbagai khidmat untuk disertai seperti pengangkutan, penghantaran makan dan barang serta sebahagiannya membabitkan produk kewangan.

Pelbagai peringkat masyarakat boleh turut serta dalam bidang ekonomi ini misalnya golongan belia, ibu dan bapa tunggal, orang kelainan upaya (OKU) atau pesara.

Merujuk kepada hala tuju dan potensi ekonomi gig di peringkat global, Indeks Ekonomi Gig Global, Amerika Syarikat (AS) menduduki tempat pertama di antara 10 pasaran khidmat bebas yang berkembang pesat dengan pertumbuhan sebanyak 78 peratus dan tempat kedua ialah United Kingdom (UK) mencatatkan hasil pertumbuhan sebanyak 59 peratus.

Dalam kalangan negara Asia, Filipina menduduki tempat keenam dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 35 peratus diikuti, India (29 peratus). Justeru, Malaysia wajar melihat ekonomi gig sebagai salah satu mekanisme penjanaan ekonomi dan pendapatan.

Ia berpotensi meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat tempatan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara melalui manfaat kemudahan teknologi sedia ada.

Pandangan dan persepsi positif terhadap ekonomi gig perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi apabila pekerjaan gig boleh dilakukan di mana-mana dalam usaha memacu ia sebagai trend pekerjaan global.

Sejak beberapa tahun lalu, bilangan individu yang menyertai rantaian ekonomi gig mula meningkat sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa. Pada tahun 2021, hampir 4 juta individu menyertai ekonomi gig berbanding setengah juta sebelum berlakunya pandemik.

Antara faktor yang mendorong pembabitan dalam ekonomi gig ini ialah fleksibiliti masa, kebebasan memilih tempat bekerja, insentif dan kemudahan teknologi yang ditawarkan.

Kewujudan beberapa platform utama ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Di Malaysia terdapat lebih 30 syarikat e-hailing yang masih beroperasi dan menawarkan pelbagai tawaran menarik seperti rebat dan diskaun untuk menarik perhatian pengguna.

Seiring dengan usaha dijalankan pihak swasta untuk mendorong pembabitan masyarakat dalam sektor ekonomi ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memperkenalkan Program KerjayaGig dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Program ini sebahagian insentif pengambilan pekerja dalam Penjana Kerjaya 2.0 yang turut membabitkan pekerjaan gig.

Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) turut memperluaskan skop insentif KerjayaGig bagi membantu individu yang diberhentikan kerja, memerlukan pendapatan tambahan untuk kelangsungan hidup dan golongan rentan bagi mendapat manfaat serta terbabit sebagai pekerja gig.

Secara dasarnya, ekonomi gig menawarkan kehidupan alternatif kepada semua. Pihak kerajaan dalam usaha sama dengan pelbagai pihak memastikan ekonomi gig ini dapat dijalankan dalam ekosistem yang bersesuaian.

Ia dilihat mampu menawarkan pendapatan berpatutan, malahan bagi sesetengah individu perolehan adalah lebih baik berbanding sektor formal memandangkan ia berasaskan permintaan pekerjaan.

Selain itu, bagi graduan yang masih mencari pekerjaan, ekonomi gig mampu membekalkan kemahiran dan pengalaman dalam jangka masa pendek seterusnya berpeluang untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan bagi mendapat pekerjaan sepenuh masa.

Ini juga menjadi peluang kepada mereka meneroka peluang keusahawanan yang bersesuaian dengan bidang dan kepakaran masing-masing ketika pandamik.-BERITA HARIAN

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *