Nasional

Ekonomi MADANI fokus struktur semula ekonomi, beri limpahan hasil kepada rakyat

KUALA LUMPUR: Ekonomi MADANI akan memberi tumpuan kepada menstrukturkan semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ekonomi MADANI bakal memperkasa rakyat sebagai wadah bagi mengangkat semula darjat dan martabat negara ini.

“Ini merupakan sebuah rencana menyeluruh dan teliti bagi menghadapi pelbagai tantangan saat ini mencakupi isu-isu jangka panjang terkait daya saing dan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan dan juga isu-isu semasa yang perlu segera ditangani seperti kenaikan kos sara hidup yang mengesankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Peluncuran “Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat” di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur pada Khamis.

Jelasnya lagi, Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat akan menjadi induk kepada beberapa lagi dasar khusus yang akan diumumkan kelak antaranya termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

Tambah beliau, Ekonomi MADANI menetapkan sasaran jangka pendek yang sudahpun digerakkan bagi menangani isu-isu segera yang mengesankan rakyat.

“Ini termasuklah menyegerakan pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif. Pelbagai usaha kita lakukan: tambah peruntukan, mudahkan tatacara perolehan serta turunkan kuasa pelaksanaan bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek sekolah dan klinik daif.

“Selain itu, kita menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini juga. Usaha telah digerakkan melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) supaya isi rumah miskin tegar punyai peluang meningkatkan pendapatan mereka, dan tidak hanya semata-mata menerima bantuan tunai langsung. Konsep Payung RAHMAH turut diperkenalkan dan akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran kos sara hidup,” tambahnya.

Anwar juga memberitahu, ekonomi MADANI turut menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun.

“Penanda aras berkenaan ialah Malaysia berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia; Indeks Daya Saing Global di tangga ke-12 teratas dunia; Peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan; Kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus; Indeks Pembangunan Manusia di tangga 25 teratas dunia; Indeks Persepsi Rasuah di tangga 25 teratas dunia; dan Kemampanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai 3 peratus atau lebih rendah,” katanya lagi.

Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News

Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news
Youtube: https://www.youtube.com/@sarawaknews2022/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *