Sukan

Ekosistem lengkap perlu untuk lahirkan jaguh muaythai

KUCHING: Program pembangunan sukan Muaythai di Sarawak menuntut komitmen dan kesungguhan semua pihak, demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.

Katanya, untuk melahirkan atlet muaythai yang mampu menyinar hingga ke pentas antarabangsa ia memerlukan ekosistem yang lengkap membabitkan penglibatan Kerajaan Sarawak, persatuan sukan, atlet dan penganjuran pertandingan secara konsisten.

“Kita perlu mewujudkan ekosistem yang lengkap, sudah tentu dengan melahirkan ‘fighter’, sudah tentu kita mengharapkan persatuan atau kelab muaythai untuk melatih mereka menerusi jurulatih yang bertauliah dan berkebolehan.

“Dengan ini penganjuran pertandingan adalah untuk mengasah kemahiran mereka, dan yang terakhir kita memerlukan bantuan daripada kerajaan kita di mana Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSN) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) sentiasa menyokong,” katanya berucap semasa merasmikan NSIX Muaythai Challenge 2022 di dewan Serbaguna Akademi Latihan Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) Cawangan Sarawak pada Sabtu.

Mengulas mengenai cabaran tersebut, beliau yang juga Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak mahu ia dijadikan acara tahunan bagi merancakkan lagi sukan kombat itu di sini lebih-lebih di kawasan Petra Jaya.

Tegasnya, usaha itu juga sebahagian daripada misi untuk melahirkan atlet muaythai dari Sarawak yang mampu menjuarai kejohanan antarabangsa seperti Kejohanan muaythai dunia IFMA.

“Saya mempunyai satu keinginan sudah tentu kita semua hendak melihat sukan muaythai berkembang di seluruh Sarawak, dan saya ingin memberi cabaran untuk melihat seorang anak muaythai Sarawak memenangi kejohanan dunia dalam ‘International Federation Of Muaythai Associations’ (IFMA) dan InshaAllah saya akan bantu ke arah usaha ini,” tambahnya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim dalam ucapan aluannya mengucapkan terima kasih atas sokongan dan dokongan berterusan Fazzrudin dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Seri Fadillah Yusof terhadap aktiviti anjuran persatuan tersebut.

“Saya berharap sokongan padu daripada YB Fazrudin dan juga Dato Seri Fadillah Yusof dan saya harap sokongan ini diteruskan lagi apalagi pada musim pandemik ini,” ujarnya.

Kira-kira 70 petinju termasuk dari Sabah mengambil bahagian dalam cabaran yang diadakan pada 4 dan 5 jun 2022 itu.

Sementara itu, Muhd Nur Aiman Kamaruddin daripada Muaythai Kenyalang Kuching telah memenangi Piala YB Fazz bagi kategori junior selepas menundukkan Muhd Syamiel Saufie daripada Kelab Muaythai Sting pada Sabtu.

Tempat ketiga disandang oleh Aqeed Fikrie (PS Muaythai Bintulu) dan Mad Sharul Fareez (Muaythai Kenyalang).

Kategori senior pula dimenangi Mohd Hairol dari Kelab Muaythai Sting dengan menewaskan Mohd Hasbullah dari Phoenix Meranek Samarahan untuk turut menjulang piala kategori senior YB Fazz dan tempat ketiga oleh Ayu Adyqa Azmi (Muaythai Kenyalang) dan Mike Bryan (Bau Muaythai).

Pertembungan bagi merebut Piala Dato Seri Fadillah Yusof pula dimenangi Hunsson Kayan dari Muaythai Kenyalang Kuching selepas menewaskan Abdul Hakim Aniq Baharom daripada Phoenix Meranek Samarahan dalam kategori 49.2kg.

Manakala Phang Ching Siong dari Kelab Muaythai Rentap merangkul piala belia N6 Tupong dengan menewaskan Teo Zhi Hao dari Mad Fight Club dan Albinus Chai (Feroce Muaythai) menyandang tempat yang ketiga. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *