Nasional

FAMA tambah lokasi Program Jualan Terus Dari Ladang

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menambah Program Jualan Terus Dari Ladang di 2,000 lokasi pada tahun ini, berbanding 1,000 lokasi tahun lalu iaitu pertambahan sekali ganda. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha FAMA itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) pada Khamis.

“Jualan ini dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan pengguna termasuk peniaga kerana harga yang ditawarkan jauh lebih rendah berikutan dibawa terus dari sumber bekalan,” katanya menerusi kenyataan media. 

Ujar Anwar lagi, mesyuarat tersebut dihadiri dua Timbalan Perdana  Menteri dan tujuh menteri yang mewakili tujuh kluster di bawah NACCOL serta wakil daripada agensi kerajaan dan kementerian berkaitan, penggiat industri, pertubuhan bukan kerajaan serta pakar dari institut penyelidikan.

Tambahnya lagi, FAMA juga akan mengadakan Jualan Khas Ramadan Madani di 268 tempat seluruh negara yang merangkumi pasar tani, pasar tani kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok.

”Bermula Sabtu ini, FAMA akan mengadakan Jualan Khas Syawal Madani di 113 outlet pemasaran FAMA.

“Jualan khas ini akan memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan bahan persiapan bagi persediaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *