Tempatan

Fasa endemik: Sarawak turut membuka sempadan negeri hari ini

KUCHING: Sarawak turut membuka sempadannya mulai 1 April sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah membincangkan kesiapsiagaan dan penilaian risiko dengan beberapa kementerian dan agensi berkaitan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) pembukaan semula sempadan Sarawak. 

“Prosedur untuk memasuki Sarawak telah pun diterbitkan. 

“Dalam dua tahun lalu, kita telah berjuang melawan COVID-19. Bersama kita menghadapi cabaran dengan kepercayaan dan sokongan yang amat menggalakkan daripada rakyat. 

“Bagi Kerajaan Sarawak, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakyat di negeri ini atas ketabahan, kesabaran dan disiplin dalam mematuhi semua SOP dan inisiatif kerajaan dalam memerangi COVID-19.

“Tanpa sokongan dan sumbangan anda, ia akan menjadi satu tugas yang berat bagi kami untuk menuju ke fasa endemik,” katanya menerusi kenyataan media pada Khamis. 

Ujar Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, Sarawak telah melihat trend menurun kes hari COVID-19 sepanjang Mac ini.

Dalam pada itu, kadar vaksinasi yang tinggi dalam kalangan rakyat di Sarawak telah menyumbang kepada trend penurunan kes COVID-19. 

“Justeru, saya merakam setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan dan sikap positif rakyat Sarawak terhadap Program Vaksinasi COVID-19.

“Sehingga kini, sebanyak 89.19 peratus daripada mereka yang layak untuk dos penggalak sudah mendapat vaksin. 

“Kita juga merayu kepada mereka yang layak dan belum diberi vaksin supaya tampil ke hadapan menerima dos penggalak mereka,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, Sarawak secara beransur-ansur bergerak ke arah kehidupan yang hampir normal. 

“Sudah pasti ini akan menggiatkan semula ekonomi kita dan membolehkan anak-anak kita kembali ke sekolah seperti biasa untuk tempat bekerja beroperasi dalam kapasiti optimum, keluarga bersatu semula dan masyarakat boleh bersosial. 

“Sehubungan itu, saya turut menggesa rakyat Sarawak untuk terus berwaspada dan mematuhi protokol kesihatan selain sentiasa mengikuti perkembangan terkini garis panduan kesihatan serta perjalanan yang mungkin berubah dari semasa ke semasa,” katanya lagi. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *