Nasional Tempatan

Fasa peralihan monsun sehingga pertengahan Mei 2023

KUCHING: Fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 23 Mac ini dan berterusan sehingga pertengahan Mei depan.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2022/23 yang telah bermula sejak 7 November tahun lalu.

Katanya, semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat beserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

Ujarnya, kejadian itu berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

Menurut kenyataan itu lagi, keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini di samping sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan berkenaan.

Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *