Sukan

FIFA kenakan kenakan tindakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing ke atas Sarawak United FC

KUALA LUMPUR: Sarawak United FC berdepan nasib malang selepas pendatang baharu Liga Super itu dikenakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing untuk tiga jendela perpindahan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ini susulan kegagalan pasukan itu melunaskan tunggakan gaji dan pampasan bekas pemain importnya, Sandro da Silva yang berjumlah lebih RM150,000 dan perkembangan mengenai hukuman FIFA itu disahkan oleh peguam Sandro, Mohd Zhafri Aminurashid kepada BH Sukan, semalam.

“Keputusan FIFA sudahpun dikeluarkan jadi mereka harus jelaskan pembayaran itu dalam tempoh masa 45 hari iaitu sehingga 18 Jun lalu. Tetapi mereka gagal melakukannya sehingga tarikh yang dinyatakan.

“Jadi pasukan itu dikenakan sekatan perpindahan pemain tempatan dan asing sehingga tiga tempoh pendaftaran pemain secara berturutan,” katanya.

Sebagai rekod, FIFA menyatakan Sarawak United gagal mematuhi obligasi kewangan mengikut keputusan yang diputuskan oleh badan induk sekali gus menyaksikan hukuman itu terpaksa dikenakan.

Justeru, FIFA memaklumkan ahli gabungan mereka yang menaungi pasukan itu iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memastikan hukuman itu dilaksanakan di peringkat kebangsaan. 

Dalam masa sama, Zhafri tidak menolak hukuman lebih ‘keras’ boleh menanti Sarawak sekiranya terus gagal mematuhi keputusan FIFA dan enggan membayar tunggakan seperti dituntut oleh Sandro.

“Kalau perkara ini berlanjutan, kes boleh dibawa ke Jawatankuasa Disiplin FIFA dan selepas itu, hukuman lebih berat boleh dikenakan kepada mereka.

“Antaranya, penolakan mata atau sekatan untuk mendaftarkan pemain,” katanya.-BERITA HARIAN

Exit mobile version