Tempatan

Gangguan internet paksa ibu tunggal mendaki berjalan kaki 5 km dan redah bukit 200 meter untuk cari capaian internet

LIMBANG: Gara-gara ketiadaan internet di Kampung Ulak, Limbang pada Ahad lepas menyebabkan seorang ibu tunggal Nurul Emma terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer meredah bukit setinggi 200 meter untuk mencari capaian Internet demi memasarkan sayur kampung untuk menampung pendapatan keluarga.

Kesusahan itu telah dikongsikanya kepada Utusan Borneo pada Rabu. 

Menurut Emma, 32 tahun selain terjejas pendapatan kerana tidak dapat menjual sayur, proses pembelajaran anak-anaknya turut terganggu.

“Jika gangguan Internet tidak berlaku, saya dapat memasarkan sayur kampung melalui laman sosial serta aplikasi WhatsApp.

“Apabila gangguan Internet kembali berlaku, belum sempat jual sayur sudah layu, memang menjejaskan pendapatan bagi ibu tunggal seperti saya,” katanya. 

Menjelas lanjut, kemudahan internet sangat penting kepadanya dalam memasarkan barangan jualan sayur yang memerlukan masa yang cepat. 

Sekiranya tiada internet sukar untuk beliau memasarkan sayur-sayuran yang dijualnya sekaligus menganggu punca rezekinya. 

“Mungkin bagi orang lain RM2 itu tidak bernilai tetapi bagi saya wang sebanyak itu dapat menampung perbelanjaan saya dan lima anak saya,” katanya.

Sebagai ibu tunggal, dia berusaha sedaya upaya mencari pendapatan untuk menyara perbelanjaan anak-anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

Beliau yang mempunyai anak sulung akan memasuki Tingkatan Satu itu turut terganggu apabila ketiadaan internet kerana tidak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). 

“Sebagai ibu saya sangat mementingkan proses pembelajaran anak-anak supaya mereka tidak melalui kepayahan dan kesusahan seperti ibu mereka yang hanya berjual sayur untuk menampung perbelanjaan keluarga,” ujarnya.

Lebih menyedihkan apabila telefon pintar dibuka hanya tertera rangkaian Internet dari negara jiran. 

Masalah ketiadaan internet ini telahpun diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak hari pertama gangguan itu, namun sehingga kini tiada kerja membaik pulih dilakukan terutama melihatkan menara telekomunikasi di Kampung Binjai yang terletak berhampiran dengan kampung mereka. 

“Kami penduduk Kampung Ulak sangat terkesan dan berharap pihak berkaitan segera membaik pulih gangguan Internet di kawasan kami,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *