Tempatan

Gelaran ‘Premier’ menggantikan jawatan Ketua Menteri Sarawak diwartakan Mac ini

KUCHING: Pertukaran gelaran ‘Premier’ bagi menggantikan jawatan Ketua Menteri Sarawak dijangka akan diwartakan pada Mac ini.

Menteri Pelancongan, Seni Kreatif dan Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan perkara itu selepas ditanya media berkenaan tarikh sebenar penggunaan gelaran ‘Premier’.

Sebelum ini kedengaran gelaran ‘Premier’ itu akan digunakan pada 1 Mac ini.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan berita tersebut dan pada masa tidak juga menafikan berita tersebut.

“Namun, saya difahamkan bahawa Kerajaan Negeri akan mewartakan Rang Undang- Undang (RUU) tersebut dengan cepat.

“Saya jangka tarikh spesifik pewartaan berkenaan akan diumumkan oleh Kerajaan Sarawak, pada bulan hadapan (Mac),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan PASC-Inter-Clubs Challenge Trophy di Pusat AKuatik Pandelala Rinong, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dato Sri Abdul Karim berkata, gelaran tersebut perlu diwartakan terlebih dahulu sebelum digunakan walaupun telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Kita baru sahaja meluluskan RUU pindaan kita, yang terakhir dalam sidang Dun baru-baru ini dengan majoriti lebih dua pertiga ahli dewan menyokongnya… ini adalah berita baik.

“Sekarang, Kerajaan Sarawak akan mewartakan pindaan ini dengan cepat agar ia boleh diterima secara rasmi,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, pindaan ini akan menamakan jawatan Ketua Menteri Sarawak sebagai ‘Premier’ dan Timbalan Ketua Menteri akan menjadi Timbalan Premier.

Manakala, pindaan jawatan ‘Menteri Muda’ akan dipinda kepada Timbalan Menteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *