Tempatan

GLC, badan berkanun di Sarawak digesa terap kaedah CDR

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun di Sarawak digesa menerapkan kaedah tanggungjawab digital korporat atau corporate digital responsibility (CDR) dalam amalan dan model operasi mereka.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata ini penting kerana CDR adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) Sarawak 2030 yang akan mempercepatkan tahap kemampanan dan integriti Sarawak.

“PCDS 2030 akan mempercepatkan tahap kemampanan dan integriti Sarawak dengan menggunakan data secara beretika untuk meningkatkan produktiviti, membina kepercayaan pelanggan dan mereka bentuk produk, perkhidmatan dan pengalaman bernilai tinggi.

“Selain itu, CDR akan meningkatkan jejak ekologi pendigitalan kita dan bertindak sebagai pelindung kepada aset strategik kita, kakitangan kita dan memulihara alam sekitar kita,” katanya dalan teks ucapan yang dibaca Timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa merasmikan Forum Kepimpinan Digital yang diadakan di Khazanah Auditorium Asia School of Business di Kuala Lumpur pada Rabu.

Jelas Premier Sarawak, transformasi dan inisiatif digital perlu dinyatakan secara bertanggungjawab merentasi kewangan, proses operasi dan tadbir urus.

Katanya, keseimbangan antara inovasi dan pematuhan kewangan mesti dipenuhi untuk mencapai matlamat strategik PCDS (2030) dari konteks dalam kemudahan menjalankan perniagaan dan menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Berkata lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu Sarawak menyasarkan untuk menggandakan saiz ekonomi Sarawak daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 bilion pada 2030 seperti yang dinyatakan dalam rancangan PCDS (2030).

“Untuk mencapai sasaran ini, kita memerlukan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus setiap tahun.

“Kami telah menerima pakai pemodelan kewangan seluruh negeri yang baharu melalui kejuruteraan semula hasil dan kaedah pembiayaan alternatif untuk memastikan kedudukan fiskal yang sihat.

“Walau bagaimanapun, sasaran ekonomi ini hanya boleh dicapai dengan komitmen dan dedikasi yang tinggi daripada kedua-dua sektor awam dan swasta. Kerajaan Negeri akan terus menggubal dasar terbaik untuk memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga memerlukan sektor korporat seperti peserta dalam forum berkenaan, pemimpin korporat dan pasukan pengurusan untuk menjadi enjin pertumbuhan dan menyumbang kepada aliran hasil negeri dengan mengguna pakai model perniagaan baharu untuk menjana pulangan positif Pelaburan (ROI) oleh Kerajaan Negeri.

Ini termasuk mengguna pakai kejuruteraan semula proses perniagaan yang inovatif melalui penggunaan alat dan teknologi digital untuk berdaya saing dan mencapai pertumbuhan yang mampan, tambah Datuk Patinggi Abang Zohari lagi.

Mengenai program diadakan, beliau menyampaikan ucapan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri dan Sarawak Centre of Performance Exceence (SCOPE) kerana menganjurkan forum berkenaan.

“Acara ini penting kerana ia menandakan pengumpulan minda pemimpin korporat di Sarawak pada platform digital,” katanya. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *