BINTULU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menghantar calon daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kelak.
Demikian kata Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Kita telah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan yang berlaku di Jepak dan SPR akan bermesyuarat.
“Saya difahamkan mereka akan bermesyuarat minggu depan dan mereka akan menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh PRK.
“Ini memang kerja SPR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Rosmari-Marjoram Onshore Gas Plant, di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha SPR Malaysia Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan media SPRM pada 19 September lepas memberitahu, pihaknya akan mengadakan satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.67 Jepak, Sarawak pada 25 September 2023 (Isnin).
“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengersikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh di mana tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan.
“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas Mesyuarat Khas tersebut,” katanya lagi.
Kerusi DUN Jepak mengalami kekosongan luar jangka setelah penyandangnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Talib Zulpilip meninggal dunia pada 15 September lepas.
Allahyarham Talib, 72 tahun telah menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Rawatan Pakar Normah sekitar jam 6 petang.
Allahyarham yang juga merupakan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah berkhidmat sebagai ADUN Jepak selama lima penggal dan pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) bermula 2017 sehingga 2022.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Dr Zaliha Abdullah dan empat anak.
Foto: UKAS
Dapatkan berita lebih lanjut dan pantas dengan melayari media sosial Sarawak News
Telegram: https://t.me/sarawaknews2022
Facebook Page: https://www.facebook.com/sarawaknewsofficial/
Instagram: https://www.instagram.com/sarawak_news/
Twitter: https://twitter.com/sarawak_news