Tempatan

GPS kuat di Parlimen, pertahankan suara dan hak rakyat Sarawak

KUCHING: Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu membentuk komposisi perwakilan Parlimen yang lebih kukuh untuk terus mempertahankan suara dan hak rakyat Sarawak di peringkat Persekutuan.

Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata misi GPS ialah untuk memenangi kesemua kerusi Parlimen pada PRU15 akan datang dengan strategi utama melancarkan perjuangan Sarawak menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jelasnya, kehadiran GPS dan kuasa Sarawak akan lebih terserlah terutama dalam membahaskan tuntutan Sarawak yang termaktub di dalam Perlambagaan Malaysia.

“Pada pilihan raya nanti (PRU15) yang akan datang kita mesti mempunyai suara yang senada daripada Sarawak dan berharap kalau boleh, kita menang semua 31 kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan.

“Maka, suara kita akan lebih menyerlah dan kita akan berusaha membangun mengikut lunas perlembagaan Malaysia dan lunas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan IGC.

“Kita tidak mahu tuntut lebih daripada itu dan tidak juga kurang daripada apa yang termaktub dalam MA63,” katanya semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong di Hotel Raia, Kuching pada Khamis.

Keyakinan ini datangnya daripada sokongan rakyat Sarawak terhadap GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak lepas yang menyaksikan GPS menang dengan cemerlang 76 kerusi berbanding 82 kerusi yang dipertandingkan.

GPS mempunyai 19 perwakilan daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak dengan 13 kerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tiga kerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS), dua kerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) dan satu kerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *