Tempatan

Graduan Melayu digesa tingkatkan ilmu pengetahuan, turut serta bangunkan Sarawak

KUCHING: Masyarakat terutama graduan Melayu harus bersedia dan meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang bersesuaian agar menjadi penyumbang kepada pembangunan negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan struktur ekonomi kini tertumpu kepada ekonomi berasaskan teknologi dan jauh berubah memaksa kerajaan beralih dan memberi penekanan terhadap ekonomi digital.

“Ini adalah selari dengan dasar kerajaan untuk meningkatkan pembangunan fizikal di samping memberi penekanan kepada pendidikan dan ‘talent development’ kerana kita tidak boleh dari dari ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti berasaskan digital.”

Datuk Amar Awang Tengah berkata demikian dalam teks ucapan dibaca oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Len Talif Salleh pada Majlis Ramah Mesra Lan Berjarah Raya Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) di Hotel Raia, Kuching pada Sabtu.

Beliau juga berharap masyarakat majmuk di negeri ini mengekalkan perpaduan bagi memastikan kestabilan politik dan keharmonian rakyat.

“Kita harus fokus dalam mempertingkatkan kesejahteraan masyarakat kita, menjaga kebajikan dan membangunkan negeri ini.

“Ini adalah teras yang ditekankan oleh kerajaan negeri sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 yang mahu melihat pembangunan seimbang di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Menjelas lanjut, Datuk Amar Awang Tengah juga menggesa graduan Melayu agar terlibat dalam bidang keusahawanan dan perniagaan agar dapat merebut pelbagai peluang yang disediakan oleh kerajaan negeri bagi mencapai aspirasi muncul negeri maju pada 2030.

“Dalam mewujudkan pengalaman yang sesuai dengan kebolehpasaran golongan graduan ini, maka Kerajaan Sarawak telah melaksana dua kaedah bagi mencapai matlamat tersebut iaitu pelaksanaan Graduate Enhancement Training Sarawak (GETS) untuk graduan.

“Selain itu, Kerajaan Sarawak akan melaksanakan rogram Industry Workforce Development Programme dengan kerjasama daripada industri untuk memberi latihan.

“Kerajaan Sarawak juga akan bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam programme outreach, Go Rural Area Programme (GRAP) dan Karnival Kerjaya bagi memberi maklumat mengenai peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar,” jelasnya lagi.

Beliau dalam pada itu menyatakan sokongan terhadap aktiviti anjuran IGMS dan berharap persatuan itu dapat terus membantu graduan-graduan Melayu di sini.

Dengan usia menjangkau 26 tahun penubuhannya sejak 1996, IGMS katanya telah banyak berjasa dalam melahirkan graduan-graduan Melayu yang berketrampilan melalui pelbagai program yang dianjurkannya.

Terdahulu, Yang Dipertua IGMS Datu Dr Sanib Said dalam ucapan aluannya berkata persatuan itu telah melaksanakan pelbagai aktiviti melalui tabung pendidikan dalam usaha meningkatkan pencapaian pendidikan anak-anak Melayu di Sarawak.

Katanya, IGMS juga bakal memiliki pejabat baharu berdekatan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang dibeli hasil peruntukan sebanyak RM1 juta sumbangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Dalam majlis tersebut, Datu Len turut menyumbang sebanyak RM20,000 kepada IGMS untuk tujuan melaksanakan aktiviti persatuan.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Kameri Affandi. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *