Rencana

Graduan perlu kreatif cipta peluang pekerjaan

Graduan diingatkan tidak menjadikan bidang perniagaan pilihan terakhir untuk mereka mencari sumber pendapatan.

Kini ramai graduan terjejas teruk dan kebanyakan yang terkesan, terpaksa mengambil jalan memulakan perniagaan demi sesuap nasi.

Sama ada menjadikan perniagaan pilihan terakhir sumber pendapatan, sekadar minat atau menjadikan perniagaan sebagai kerjaya, yang penting adalah menetapkan hala tuju sebelum memilih perniagaan sebagai satu bidang kerjaya.

Mendepani fasa endemik, graduan perlu memastikan perancangan kewangan lebih realistik dan bermakna. Ini kerana cabaran besar graduan sekarang adalah menguruskan kewangan.

Cabaran dan ketidakpastian masa kini menuntut mereka memikir semula, memulih dan membuat penambahbaikan berterusan dalam mengurus kewangan.

Memahami kesukaran bagi yang terjejas dan berhasrat memulakan perniagaan khususnya melalui platform digital, mendorong graduan menjadi lebih proaktif mencari peluang yang membolehkan lebih ramai golongan muda berupaya mencipta produk berinovasi dan bekerja sendiri.

Graduan perlu menggunakan medium internet atau perniagaan dalam talian dengan baik. Mereka boleh beroperasi dari mana-mana sahaja sama ada di rumah atau luar rumah, pada waktu khusus atau antara waktu lapang yang mereka miliki, menggunakan modal perniagaan yang tinggi atau sebaliknya.

Kebanyakan graduan kini tidak tahan cabaran, cepat mengalah serta tidak mampu bertahan dalam jangka masa panjang. Bagi mendukung kelestarian agenda keusahawanan, Pelan Tindakan Keusahawanan (PTK) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021–2025 dan MOHE Guide to Entrepreneurship Integrated Education (EIE) digerakkan.

Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Nasional (MKPTN) turut diaktifkan semula dengan pelantikan 30 ahli baharu. Bagi membantu meningkatkan kemahiran dan mengembangkan perniagaan mahasiswa, MoHE-Shopee: Siswa Mall dilancarkan pada 25 November 2021 dan bakal memanfaatkan 5,000 graduan.

Kerajaan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga menawarkan pendaftaran syarikat percuma kepada graduan bagi menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan dan perniagaan.

Ketika dalam pengajian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai contoh menyediakan dana sebagai galakan kepada pelajar memulakan perniagaan, pinjaman sehingga RM3,000 daripada Tabung Keusahawanan Siswa.

Untuk berkecimpung dalam perniagaan tidak kira dalam talian atau secara tradisional menuntut graduan memiliki kemahiran. Mampu berkomunikasi dengan baik, mempunyai kemampuan penyelesaian masalah, serta kreatif dan inovatif antara beberapa contoh kemahiran insaniah harus dimiliki.

Perkembangan dunia digital tidak menutup kemungkinan terjadinya kolaborasi baharu pelbagai bidang pekerjaan dalam perniagaan. Malah kini, masyarakat sudah menerapkan teknologi digital dalam pelbagai aspek kehidupan mereka.

Jenis perniagaan yang sebelumnya tidak pernah terfikir, akan muncul seiring keperluan masyarakat terhadap kemajuan bidang teknologi terbabit.

Kesimpulannya, mendepani situasi semasa, strategi pekerjaan perlu berubah. Justeru, graduan perlu kreatif mencipta pekerjaan atau perniagaan.

Untuk itu, graduan perlu diberi pendedahan dan bimbingan sebelum tamat pengajian bagi menghadapi risiko akan datang.

Pendedahan pengetahuan dalam perniagaan menjadikan pelajar lebih kreatif dan inovatif mencipta pekerjaan.

Graduan tidak perlu tergesa-gesa mencari pekerjaan, sebaliknya menjadi pencipta peluang pekerjaan.-BERITA HARIAN

Penulis adalah Penolong Pendaftar Kanan Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *