Menarik

Gua Pari-Pari dibuka semula kepada orang ramai

KUCHING: Berita baik buat pencinta alam, Gua Pari-Pari (Fairy Cave) di Bau kini dibuka semula kepada orang ramai bermula Jumaat.

Menurut Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), ia dibuka semula selepas projek-projek naik taraf untuk tarikan pelancong ke gua terbabit siap dilaksanakan.

“Gua Pari-Pari rindukan kehadiran anda! Ia sudah dibuka semula hari ini (semalam).

“Jangan lupa membawa sekali ahli keluarga serta sahabat-handai anda mengunjungi gua ini,” kata SFC menerusi perkongsian di Facebook rasmi, Jumaat.

SFC turut memaklumkan bayaran masuk adalah RM1.00 dan waktu lawatan bermula dari jam 9:00 pagi hingga 4:00 petang pada setiap hari Selasa hingga Ahad serta cuti umum.

Lawatan atau aktviti di gua tersebut ditutup setiap hari Isnin.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh pada Jun 2020 berkata, gua terbabit akan berubah wajah apabila dua projek naik taraf oleh SFC siap sepenuhnya.

Katanya, projek berkenaan merangkumi membina tandas baharu, kaunter tiket, menaik taraf tangga, tempat letak kenderaan, ‘viewer point’ dan laluan jalan kaki ke puncak gunung Pari-Pari.

Selain itu, beliau berkata kerja menaik taraf turut dilaksanakan di kawasan Tapak Koperasi Fairy Cave dengan meluaskan kawasan sedia ada, membina pejabat dan gerai baharu termasuk pembinaan pentas baharu yang dibiayai menggunakan peruntukan daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Antara keunikan di gua tersebut ialah struktur

batuannya yang menjadi tempat persinggahan wajib bagi sebuah kelab penggiat aktiviti lasak panjat tebing, pada setiap hujung minggu.

Mengikut cerita penduduk kampung di sini, gua ini juga mempunyai ceritanya yang tersendiri yang diwarisi turun temurun.

Menurut penduduk tempatan, pada masa lalu penduduk di kawasan terbabit banyak melakukan kekejaman terhadap anak-anak kecil dan anak yatim sehingga ‘penghuni’ gua (pari-pari) ini tidak tahan dengan kezaliman manusia, lalu disumpahnya semua penduduk menjadi batu.

Bagaimanapun, tiada bukti sahih yang dapat menyokong kenyataan berkenaan dan ia kekal sebagai cerita legenda Gua Pari-Pari.

Gua Pari-Pari ini telah diwartakan sebagai rezab di bawah SFC dan dikenakan bayaran RM1 bagi warganegara dan RM5 untuk pelancong asing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *