Tempatan

Guna peruntukan MRP untuk laksana projek kecil dan sederhana di kawasan masing-masing

BINTANGOR: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) boleh menggunakan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk melaksanakan projek kecil dan sederhana di kawasan masing-masing.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata, langkah itu mampu membantu memudahkan pelaksanaan projek sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Bagaimanapun, peruntukan tersebut harus dimanfaatkan secara telus selain dipantau agensi Kerajaan Sarawak seperti Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU).

“Jika setiap JKKK, sama ada di kampung atau rumah panjang bekerjasama, efisien dan menjalankan tugas mereka sebagai entiti JKKK yang bertanggungjawab, saya rasa projek kecil dan sederhana dalam kampung dan rumah panjang mereka dapat laksanakannya sendiri tanpa melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Tapi di sinilah peranan agensi Kerajaan Sarawak seperti SIMU untuk memantau peruntukan ini supaya tidak disalahgunakan atau pun bocor dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke projek siap Jeti Baharu Rumah Peter Kilas Selidap di sini pada Selasa. 

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, Kerajaan Sarawak juga boleh menyalurkan peruntukan projek kecil dan sederhana melalui majlis daerah sebagai agensi pelaksana.

“Kadang-kadang projek kecil sederhana yang bernilai antara RM40,000 hingga RM100,000, saya rasa agensi seperti majlis daerah atau JKKK mampu untuk melaksanakan.

“Jika kepercayaan dan polisi ini dapat dijelaskan oleh pihak SIMU dan sebagainya, saya rasa banyak JKKK kampung atau pun rumah panjang akan diberi peruntukan untuk melaksanakan projek kecil dan sederhana di penempatan masing-masing,” katanya.

Projek pembinaan jeti baharu yang menggunakan peruntukan MRP Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop itu dilaksanakan Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ).

Abdullah juga menyifatkan projek itu sebagai kerja yang baik dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. -TVS

Exit mobile version