Tempatan

Guru rugi RM110,00 akibat sindiket Macau Scam

MUKAH: Seorang guru mengalami kerugian apabila wang  berjumlah RM110,000 lesap akibat penipuan sindikat Macau Scam dalam satu kejadian terbaharu. 

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitendan Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa menerima panggilan telefon daripada saspek yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis pada 12 Februari lalu. 

Katanya, saspek memberitahu kononnya mangsa mempunyai tunggakan cukai pendapatan RM36,690 di sebuah Syarikat HRC Global (M) Sdn Bhd di Kuantan Pahang. 

Saspek juga mendakwa hasil semakan lanjut mangsa terbabit kegiatan jenayah penggubahan wang haram dan pengedaran dadah. 

“Mangsa kemudiannya diminta untuk memberikan butiran peribadi, perbankan dan nombor TAC kepada Bank Negara Malaysia bagi tujuan penyiasatan dan pembekuan akaun. 

“Pengadu yang berasa cemas telah mengikuti arahan suspek yang menyamar sebagai Sarjan Ariffin dan mendedahkan semua butiran yang diminta,” katanya dalam satu kenyataan. 

Ujar Deputi Superitendan Muhamad Rizal lagi, mangsa turut membuat panggilan yang berbeza kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dari IPK Pahang. 

Dua minggu selepas itu katanya, mangsa pergi ke Bank Rakyat Cawangan Mukah untuk menyemak baki wang dalam akaun dan mendapati wang sebanyak RM 110,000 miliknya telah dipindah ke akaun Bank CIMB dengan penama Amirul Shafri Mat Sharif tanpa pengetahuannya. 

Menyedari dirinya berasa ditipu, mangsa kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada polis dan kes ini sedang disiasat bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *