KUCHING: Hampir 50 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan mini acara muaythai sempena program Active@Martial Arts 2022 Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Sting Muaythai Gym pada Sabtu.
Ia mempertandingkan kategori perlawanan amatur dan wai kru (persembahan) remaja lelaki dan perempuan melibatkan beberapa peringkat umur.
Berakhir saingan, Mohd Nur Raikal Ismail muncul johan kategori 51-54 kg remaja lelaki selepas menewaskan Mohd Syasya Irfan Ismail manakala Zul Hizam Zulhisham di tempat ketiga.
Bagi kategori perempuan 45-48kg, johan menjadi milik nur Atiqah Musfirah Baharom, tempat kedua dirangkul Nur Iklil Zarifah Mohd Affandi dan Ain Arissya Zulkeplie di tempat ketiga.
Hani Arissa Ismail pula mengungguli kategori 30-35kg perempuan selepas menewaskan Qurratul Najwa Mohd Zaini sementara Nurtasihah Jahari di tempat ketiga.
Dalam kategori Wai Kru Wanita, johan dimenangi Nur Arifah Mahsunah Baharom, tempat kedua Nurtasihah Jahari dan Nur Atigah Musfirah Baharom di tempat ketiga.
Juara kategori Wai Kru Lelaki pula dirangkul Shafiq Rushidi, tempat kedua milik Mohd Hasbullah Mood dan Mohd Hairol Salmi di tempat ketiga.
Perasmian Active@Martial Arts 2022 telah diadakan di Arena Boling Padang Sarawak, Petra Jaya yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu bagi mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Manakala penutupan telah disempurnakan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Lamat Nyalau di venue sama pada sebelah petang.
Hadir sama Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim. – SN