Dunia

Hampir 836,000 pelarian meninggalkan konflik di Ukraine

GENEVA: Data terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan hampir 836,000 pelarian sudah keluar dari Ukraine dan masuk ke negara jiran untuk menyelamatkan diri daripada konflik di negara itu.

Laman sesawang agensi pelarian PBB, UNHCR, menunjukkan seramai 835,928 individu sudah melepasi sempadan negara itu hari ini, iaitu peningkatan ketara berbanding 677,000 yang diumumkan ketua agensi itu, Filippo Grandi, semalam.

Daripada jumlah itu, lebih separuh melarikan diri ke arah barat menuju ke Poland selain Hungary dan beberapa negara jiran lain.

Sementara itu, pertempuran di jalanan tercetus selepas tentera Russia tiba di bandar kedua Ukraine menggunakan payung terjun, dengan pihak berkuasa bandar itu memaklumkan sebuah hospital menjadi sasaran serangan udara dan artileri.

“Secara amnya, sudah tiada kawasan di Kharkiv yang tidak dibedil artileri,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashchenko.

Tentera Russia mendakwa sudah menawan bandar Kherson di selatan Ukraine berhampiran Laut Hitam, selepas datuk bandarnya mengaku pelabuhan dan stesen kereta api Kherson sudah berada dalam tangan Russia.

Russia meningkatkan pengeboman dan serangan peluru berpandu di beberapa bandar Ukraine, yang memusnahkan dua bangunan kediaman di sebuah bandar di barat Kyiv, selain bandar Bila Tserkva di selatan Kyiv, turut menjadi sasaran.

Persidangan Agung PBB dijadual mengadakan sesi khas bagi mengundi untuk mengarahkan Russia menarik balik tenteranya dari Ukraine.

Beberapa syarikat Barat pula memutuskan untuk membeku atau mengecilkan skala perniagaan dengan Russia, termasuk Apple, tiga syarikat perkapalan dan tenaga terbesar dunia Eni, ExxonMobil dan Boeing.

Suruhanjaya Eropah (EC) pula sedang merangka usul bagi membolehkan warga Ukraine yang melarikan diri daripada pencerobohan Russia, dibenarkan tinggal dan bekerja di negara Kesatuan Eropah (EU) untuk sekurang-kurangnya dua tahun.

Bank Dunia pula sedang menyediakan pakej bantuan berjumlah AS$3 bilion (RM12.5 bilion) untuk Ukraine, termasuk dana segera berjumlah sekurang-kurangnya AS$350 juta (RM1.46 bilion). – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *