KOTA BHARU: Kerajaan menjangka harga minyak masak tidak bersubsidi turun dalam tempoh dua minggu susulan penurunan harga minyak sawit mentah di pasaran dunia.
Pengerusi Pasukan Jihad Tangani inflasi, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya mengadakan perbincangan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) serta pengilang berkaitan yang bersetuju menurunkan harga secara berperingkat.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya mengesyorkan supaya ia dilaksanakan segera dalam masa terdekat iaitu dalam tempoh dua minggu selepas mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri minyak masak kelapa sawit pada Selasa lalu.
“Kita juga bersetuju membuat semakan harga secara mingguan jika pelaksanaan penurunan nilai ini dilakukan segera. Inisiatif terbabit diambil bukan untuk memaksa mana-mana pihak, sebaliknya berharap industri berkenaan lebih bertanggungjawab.
“Jangan biarkan kerajaan terkial-kial dengan masalah ini sebab akhirnya syarikat juga yang akan menentukan. Pada masa sama, saya berterima kasih kepada persatuan pengeluar minyak yang bersetuju dengan cadangan menyegerakan penurunan harga.
“Pasukan kami akan terus meneliti langkah perlu dilakukan bagi menangani inflasi dalam negara dan tidak akan membiarkan situasi berkenaan berlaku terlalu lama demi kebaikan bersama,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan harga barang di Pasar Ketereh, di sini, hari ini.
Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata inflasi yang sedang dihadapi kini sudah diduga kerana ia berlaku secara global.
“Antaranya adalah kerana pasca COVID-19 yang mana semua aktiviti berjalan semula dan permintaan pelbagai industri meningkat, tetapi pengeluaran tidak pulih sepenuhnya.
“Selain itu, apabila berlaku peperangan antara Ukraine dan Russia, urusan perdagangan dunia turut terjejas menyebabkan berlaku kenaikan harga barang di seluruh negara.
“Inflasi ini berlaku bergantung kepada dasar kewangan dan monitori polisi negara tertentu terutama negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, sekali gus menyebabkan dagangan dunia berubah,” katanya.-BERITA HARIAN