Sukan

Harimau Muda bungkus awal dalam saingan Piala Asia B-23

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney mengakui anak buahnya tidak beraksi dengan baik ketika tewas 0-3 di tangan Thailand pada aksi kedua Kumpulan C dalam saingan Piala Asia B-23, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Harimau Muda tersingkir awal dari kejohanan selepas turut mengalami kekalahan 1-4 ketika aksi pertama berdepan juara bertahan, Korea Selatan pada aksi pertama, Khamis lalu.

Pengendali dari Australia itu menjelaskan Thailand berhak mendapat kemenangan dalam perlawanan di Stadium Bunyodkor, Tashkent, Uzbekistan itu berdasarkan persembahan mereka yang lebih baik.

“Tidak bernasib baik adalah satu perkara, tapi kami tidak beraksi dengan cukup baik. Saya fikir kami mengawal permainan dalam 20 minit pertama, namun kemudian kami melepaskan gol pertama dan selepas itu kami terpaksa bangkit.

“Ia amat mengecewakan apabila tewas dan Thailand berhak mendapat kemenangan yang sepatutnya. Menentang Thailand, kami tahu jika kami ketinggalan, kami perlu terus mengejar untuk meraih mata dalam perlawanan ini.

“Thailand menggunakan peluang mereka dan itulah yang dilakukan oleh pasukan yang bagus, kami tidak cukup bagus hari ini,” katanya selepas perlawanan.

Thailand kini berada di tangga teratas kumpulan, berkongsi empat mata bersama Korea Selatan manakala Vietnam di kedudukan ketiga dengan dua mata dan Malaysia tanpa sebarang mata menghuni tempat terbawah.

Sementara itu, pengendali Thailand, Worrawoot Srimaka memuji persembahan pemainnya apabila berjaya mempamerkan aksi terbaik walaupun bermain di bawah tekanan berdepan Malaysia.

“Pemain beraksi dengan baik di bawah tekanan. Ia perlawanan yang bagus menentang Malaysia dan kemenangan ini adalah untuk pemain, staf dan semua yang terbabit dalam membangunkan pasukan.

“Terdapat banyak tekanan dari segi prestasi pasukan selepas Sukan SEA Hanoi dan mereka menunjukkan kepada semua orang apa yang mereka mampu.

“Pasukan yang kami ada adalah yang terbaik dalam generasi ini. Sudah tentu, kami perlu mengambil kira bahawa kami mempunyai sedikit masa untuk berlatih bersama dan merancang sebagai satu pasukan,” katanya. -BHARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *