Tempatan

Hayati perjuangan pahlawan dan ulama terdahulu pertahan kedaulatan negara

MUAR: Generasi hari ini diseru agar menghayati perjuangan dan pengorbanan pahlawan dan ulama terdahulu yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa serta mempertahankan kedaulatan negara ini.

Tanpa pengorbanan dan perjuangan mereka, rakyat tidak akan dapat mengecapi keamanan, kemakmuran dan keselesaan seperti yang dirasai hari ini, demikian menurut Penaung Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia (PSSSM 2014), Abang Dato’ Paduka (Dr.) Haji Ariffin Abang Haji Bohan.

Berucap semasa merasmikan Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri dan Majlis Memperingati Pengorbanan dan Perjuangan Para Pahlawan Melayu Islam di Tanah Air di Muar, Johor pada Jumaat, 13 Mei 2022, beliau berkata majlis itu hanya usaha kecil bagi mengenang jasa dan pengorbanan para pahlawan negara yang telah mendidik serta membangkitkan semangat juang mempertahankan hak agama bangsa dan tanah air tercinta kepada anak bangsa.

Katanya, di Johor khususnya di daerah Muar dan Batu Bahat nama-nama Almarhum Almarhum seperti Tuan Guru Kiai Haji Fadil Abu Bakar Bentan, Tuan Guru Kiai Haji Mohd Salleh Abdul Karim, Tuan Guru Kiai Dato Haji Shamsuddin Redzuan dan Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia Tuan Guru Haji Hamid Haji Hamzah, Tuan Guru Haji Ismail Haji Hamzah dan Tuan Guru Haji Rosmani Abdul Samad amat dikenali dan disegani.

“Sekalipun mereka telah lama meninggalkan kita tetapi semangat perjuangan tersebut masih kekal disanubari khususnya para pengikut dan anak-anak muridnya berdasarkan amalan kerohanian yang diturunkan seperti zikir Ayat 4 dan Wirid Khaujakan.

“Memperingati perjuangan mereka bermaksud kita mengambil iktibar dari sejarah yang berlaku agar ianya tidak berulang kembali.

“Dengan adanya majlis seumpama ini ianya dapat menyedarkan kita betapa pentingnya masyarakat berbilang kaum di negara ini perlu meneruskan hidup dengan saling menghormati agama, budaya dan adat resam sesama kita bagi memastikan rakyat hidup dalam kemakmuran dan aman damai,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Ranting PBB Masjid turut berharap agar pertubuhan itu dapat melangkah lebih jauh melalui program yang telah diaturkan.

Katanya, fokus pertubuhan bukan sahaja di peringkat daerah atau negeri malah harus melangkah lebih jauh dari itu.

Beliau turut berbangga apabila Seni Silat Sendeng Malaysia telah diwartakan sebagai Seni Silat Warisan Negeri Johor Darul Takzim dan lebih membanggakan apabila Seni Silat Sendeng Malaysia telah diiktiraf sebagai ahli gabungan di bawah Jawatankuasa Senibela Diri Malaysia (NMC Malaysia) yang bernaung dibawah World Martial Arts Masterships Committee (WMC).

“Turut membanggakan apabila Gelanggang Tiga Seturut (GTS) merupakan gelanggang yang paling aktif dengan pelbagai aktiviti diadakan termasuklah kem motivasi bagi pelajar sekolah.

“InsyaAllah dengan Izin Allah, kita mengisytiharkan Gelanggang Tiga Seturut sebagai gelanggang Pusat PSSSM 2014 dan majlis perasmiannya akan diadakan,” tambahnya lagi. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *