Nasional

Hina Rasulullah: Yadim mahu India mohon maaf

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menggesa Kerajaan India memohon maaf ke atas umat Islam dan mengambil tindakan wajar kepada pihak yang menghina Rasulullah SAW.

Yadim menerusi kenyataan akhbar berkata, pihaknya kesal di atas penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan sikap Islamophobia dipamerkan jurucakap parti pemerintah India, Bharatiya Janata Party (BJP) baru-baru ini.

“Penghinaan ini telah mencabar sensitiviti umat Islam antarabangsa dan lebih-lebih lagi mengaitkan penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan agama Islam,” menurut kenyataan tersebut.

Pada masa sama, katanya, umat Islam juga dinasihatkan supaya tidak membalas penghinaan itu dengan menghina pula agama mereka.

Jelasnya, hal ini adalah bersesuaian dengan prinsip yang digariskan dalam Islam.

“Bahkan dari sudut dakwah, hendaklah kita membalas tohmahan dan penghinaan tersebut dengan penuh ilmiah, fakta dan professional.

“Tambahan lagi, dunia kini yang mempunyai peradaban tidak sepatutnya berlaku penghinaan antara kaum, bangsa mahupun agama.

“Selayaknya sikap toleransi dan harmoni antara kaum dan agama perlu dipraktik demi mengekalkan perpaduan dan kemajuan sesebuah bangsa dan negara,” katanya.

Justeru, Yadim menyeru seluruh umat Islam di negara agar bersikap positif, saling hormat menghormati antara satu sama lain dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak khususnya membabitkan penghinaan agama.

Pada Isnin, Reuters melaporkan kerajaan India berusaha meredakan kemarahan dari dalam dan luar negara, selepas dua pegawai Parti Bharatiya Janata (BJP) membuat kenyataan mengenai Nabi Muhammad SAW sewaktu debat televisyen baru-baru ini. – SN

#sarawaknews
#hanyauntuksarawak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *